Anak presiden PAS ditahan polis
kemas kini 4pm Anak presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditahan polis tidak jauh dari rumahnya di Rusila, Marang susulan kekecohan sewaktu penyokong parti itu mengepung dua buah bas.
Penumpang-penumpang yang disyaki "pengundi hantu" itu termasuklah pelancong Belanda di atas sebuah bas. Sementara sebuah lagi membawa pengundi dari luar, kata polis.
Menurut sumber penduduk, Muhammad Khalil, 31, ditahan pada jam 11.45 pagi tadi.
Anak sulung Abdul Hadi itu termasuk antara 20 lelaki, antara 15 hingga 60 tahun, yang ditahan polis kerana enggan bersurai.
Dalam sidang medianya tadi, ketua polis negeri Datuk Ayob Yaakob mengesahkan, anak pemimpin utama PAS itu turut ditahan.
Mereka disiasat atas kesalahan-kesalahan berhimpun secara haram, memiliki kad pengenalan orang lain, merusuh dan menghalang orang lain membuang undi.
Suasana tegang di depan Sekolah Kebangsaan Rusila, tempat membuang undi, dan kawasan sekitarnya hingga ke jalan utama Kuala Terengganu-Dungun bermula seawal jam 10 pagi dan berlarutan hingga tengah hari tadi.
Anggota-anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penyokong pembangkang dan penduduk kampung itu kerana enggan bersurai, tambah Ayub.
Seramai 145 anggota polis termasuk FRU dikerahkan ke tempat kejadian.
Polis menyatakan, penyokong pembangkang membaling objek ke arah pegawai dan kenderaan polis. Tujuh kenderaan polis pecah cermin akibat dibaling objek keras.
Suasana kembali normal sejurus selepas tengah hari dan anggota FRU bersurai dari lokasi kejadian kira-kira pukul 2 petang.
Ayub berkata, polis akan terus memantau keadaan.
Menurutnya, Muhammad Khalil dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu akibat tercedera di kepala.
Beliau terkena objek yang dibaling dari arah kumpulan penyokong PAS, kata polis, dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Marang selepas rawatan untuk siasatan.
Satu sumber PAS memberitahu
Malaysiakini
, seorang lelaki tercedera di perut akibat terkena peluru gas pemedih mata dalam kekecohan tersebut.
Saiful Bahri Abd Rahman, 32, dirawat di hospital yang sama, kata sumber itu lagi.
Di sidang media itu, Ayub bagaimanapun menafikan terdapat orang awam tercedera akibat tembakan polis.
Menurut Ayub lagi, penyokong pembangkang menahan bas dan mengambil 76 keping kad pengenalan penumpang dan memaksa mereka turun dari kenderaan itu.
Sebanyak 58 kad pengenalan itu kini diserahkan kembali, tambahnya.
Abdul Hadi bertanding di kerusi-kerusi negeri Rhu Rendang dan parlimen Marang. Pada 2004, PAS tewas dengan majoriti tipis, 163 undi.
Di seluruh negeri termasuk Marang, kata Ayub lagi, beberapa insiden menghalang dan menakut-nakutkan pengundi turut dilaporkan.
Beliau bagaimanapun belum menerima maklumat lengkap kejadian-kejadian tersebut.
Dua bas terbabit kini diletakkan di balai polis Marang.
Ayub mengesahkan kejadian seorang pemandu bas di Besut mendakwa ditumbuk oleh penyokong sebuah parti politik. Beliau tidak menyebutkan nama parti politik terbabit.

