Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ketua penerangan PAS Mahfuz Omar kerana didakwa memfitnahkan universiti tersebut.

Mahfuz dikatakan memfitnah universiti itu kononnya telah mengeluarkan ijazah sarjana kepada penyandang kerusi parlimen Pokok Sena, Datuk Abdul Rahman Ibrahim, secara tipu dengan menerima tesis palsu.

Pendaftar UUM Harun Amin dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, universiti itu juga akan menyaman Harakahdaily dan calon PAS bagi kawasan parlimen Pokok Sena itu ekoran satu laporan dalam laman web PAS itu semalam.

"Kita akan menyaman dengan tuntutan sebanyak RM100 juta kerana memfitnah UUM kononnya mengeluarkan ijazah Sarjana Sains Politik kepada Abdul Rahman Ibrahim walaupun beliau menyerahkan tesis palsu," katanya.

Menurut Bernama, Harun berkata, saman itu dikeluarkan melalui firma guaman UUM, Azam Aziz & Co dan pihaknya telahpun menghantar satu notis meminta injunksi daripada mahkamah untuk menghalang Harakahdaily daripada terus memfitnah UUM.

Beliau berkata, berdasarkan rekod UUM, Abdul Rahman didapati lulus ijazah Sarjana Sains Politik mengikut tertib akademik yang betul dan mendapat pengiktirafan Senat.

Harun berkata, dua penyelia tesis Abdul Rahman iaitu Dr Foad Sakdan dan Prof Datuk Dr Fauzi Basri mengesahkan bahawa Abdul Rahman telah mengikuti pendidikan dan kaedah penyelidikan yang betul.

Sementara itu, di Alor Star, Mahfuz menafikan dakwaan yang beliau memalukan UUM.

Mahfuz berkata, kenyataannya itu bertujuan untuk mendedahkan keburukan Abdul Rahman dan tidak melibatkan imej UUM sebagai sebuah universiti awam.

"Saya tak kata UUM yang tipu, saya kata (Datuk) Abdul Rahman Ibrahim. Kenapa mereka (UUM) nak saman saya," katanya kepada pemberita malam tadi.