Penduduk Kelantan memberi reaksi berbelah bagi mengenai pembangunan besar-besaran yang akan dibawa oleh Barisan Nasional (BN) jika berjaya memerintah negeri itu selepas pilihanraya umum Sabtu ini.

Bagi golongan tua, mereka lebih selesa dengan kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang, manakala orang muda berkata mereka dahagakan pembangunan besar-besaran sebagaimana negeri-negeri lain.

kelantan 020308 market Malaysiakini membuat tinjauan di beberapa kawasan selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan naibketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membantu jentera kempen BN negeri itu.

Kedua-duanya secara terbuka meminta penduduk Kelantan melakukan perubahan dengan memilih kerajaan negeri baru untuk membawa pembangunan besar-besaran di negeri itu.

PAS telah memerintah kerajaan negeri Kelantan sejak pilihanraya umum 1990 tetapi kini parti itu hanya mempunyai majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 23 daripada 45 kerusi.

Peniaga, Rosnani Nor berkata, penduduk Kubang Kerian memang sangat memerlukan perubahan dan pembangunan termasuk kemudahan-kemudahan asas seperti pasar.

"Pasar ini sudahlah buruk, malah bekalan air paip tidak ada. Bila kita beritahu pihak berkenaan, sampai sekarang tiada tindakan.

"Tidak boleh lagi dengan keadaan sekarang ini. Eloklah sebuah kerajaan baru yang boleh membela rakyat," katanya.

Seorang wanita muda, Zaharah Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri PAS sudah gagal membela rakyat Kelantan dan kerana itu ramai penduduk terutama di kawasan luar bandar hidup menderita.

Katanya, rakyat memerlukan ekonomi yang baik, pekerjaan dan pendidikan untuk memastikan mereka dapat hidup dengan sempurna.

Manakala penduduk Kampung Parit, Wan Ismail Wan Farid berkata, ramai penduduk kampung itu gembira dengan kepimpinan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, kerajaan PAS sekarang lebih mementingkan kesederhanaan dalam semua aspek iaitu dunia dan akhirat.

"Kelantan sebuah negeri orang Melayu, oleh itu sangat sesuai dengan kepimpinan PAS.

"Buat apa pembangunan besar jika rakyat tidak mendapat manfaatnya. Buat apa masjid besar, jika orang tidak pergi," katanya.

kelantan 020308 big bn poster Wan Ismail menambah, kerajaan BN juga ada kelemahannya apabila ia gagal memberi pekerjaan kepada puluhan ribu penuntut pusat pengajian tinggi.

Sementara itu seorang usahawan Mazlan Muhamad berkata, pembangunan besar akan menyebabkan pelabur luar Kelantan akan menguasai ekonomi negeri itu.

"Dulu, pernah apabila pembangunan terlalu pesat, peniaga Cina sendiri rasa tidak selesa. Sewa meningkat," katanya.

Akibatnya, kata beliau, orang Melayu terpaksa meninggalkan kawasan bandar dan tinggal di kampung atau kawasan luar bandar.