Pengerusi Barisan Nasional Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh mempertikaikan manifesto PAS 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan' kerana parti itu sendiri sering mengutip derma.

idris jusoh 01Sambil menyifatkan PAS sebagai parti 'pitih ambik sokmo' (selalu mabil duit), beliau berkata "Mereka nak buat negara kebajikan tetapi lepas ceramah, ambil wang dari rakyat.”

"Semalam naib presiden PAS Mohd Sabu kata beliau sudah banyak duit, dan tidak mahu wang tetapi lepas ceramah kutip wang dari rakyat,” kata Idris ketika berucap di kempen BN di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu hari ini.

Acara yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu dihadiri beberapa ribu penyokong parti itu.

Malam tadi, di majlis ceramah besar anjuran PAS di Kampung Pengadang Baru, dekat Kuala Terengganu, PAS mengutip lebih RM18,000. Kira-kira lima ribu penyokong parti pembangkang hadir.

abdullah ahmad badawi pak lahAbdullah. dalam ucapannya di majlis itu berkata, beliau sedih dengan sikap pemimpin pemimpin PAS Kelantan yang memandang rendah kepada projek pembangunan besar-besaran.

'Racuni fikiran rakyat'

Tambahnya pemimpin-pemimpin parti itu bimbang pembangunan besar akan menyebabkan harga barang melambung dan mahu kemajuan yang biasa-biasa sahaja.

"Adakah begitu sekali nasihat mereka kepada rakyat Kelantan?" katanya.

Kenyataan pemimpin PAS seumpama itu, menurut Abdullah lagi, boleh meracuni pemikiran rakyat dan kenyataan yang tidak munsabah dan tidak masuk akal.

hadi awang 00Beliau juga mengulangi kritikannya pada kenyataan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan mengumpat wakil rakyat dibenarkan oleh Islam kerana urusan pentadbiran memerlukan ketelusan dan tanggungjawab yang tinggi.

Abdullah menganggap kenyataan dan sikap PAS sering pelik-pelik.