Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan pembangkang bahawa beliau seorang anti-masyarakat Cina.

Sebaliknya beliau, yang juga Menteri Pelajaran, berkata sudah menjalankan tanggungjawab dan adil kepada semua kaum.

"Bagaimana mereka boleh menuduh saya (sedemikian) kerana saya yang telah meluluskan peruntukan untuk membina dan memindahkan SJK (C)."

Bernama memetik beliau sebagai berkata, sehingga kini, terdapat beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) yang sudah siap dibina dan dipindahkan antaranya, SJK (C) Thai Hong yang dipindahkan dari Kota Tinggi ke Skudai dan SJK (C) Taman Connaught 2 di Kuala Lumpur.

"Bukan SJK (C) saja kita bantu, Sekolah Kebangsaan pun turut diambil berat kerana sekolah semua aliran merupakan kekuatan kita yang akan melahirkan modal insan bermutu.

"Pembangkang memang senang bercakap tetapi untuk melaksanakannya susah, saya bersikap realistik dan adil kepada semua orang," katanya.

Sehubungan itu, Hishammuddin juga menyangkal dakwaan pembangkang bahawa pembinaan sekolah baru pelbagai aliran adalah gimik dan retorik BN sempena pilihanraya umum 8 Mac ini.

Katanya, kerajaan BN selama ini sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan bagi melahirkan modal insan bermutu sebagaimana termaktub dalam manifesto BN, yang dilancarkan kelmarin.

"Jika dulu (apabila dilemparkan) segala tuduhan itu kita sabar, tetapi kini kita harus bangkit dan menjawab kerana pembangkang memang tiada misi dan tidak boleh diharap, kita tolak mereka dan pastikan mereka tiada tempat seinci pun untuk bernafas di Johor ini," katanya kepada pemberita selepas upacara pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Kulai 2 semalam.

Hishammuddin, yang mempertahankan kerusi parlimen Sembrong, berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3 bilion setahun untuk membina dan menaik taraf sekolah pelbagai aliran.

Beliau juga menjadi sasaran kritikan masyarakat Cina, termasuk dari kalangan parti-parti komponen BN kerana tindakannya menghunus keris sewaktu perhimpunan agung Umno sebelum ini.