Hishamuddin Rais dalam artikel yang bertajuk [#1]Makna demonstrasi dipesong, demokrasi cacat[/#] (16 Mac) banyak menyentuh hak-hak yang di miliki oleh sesiapa yang hidup di sebuah negara demokratik. Saya setuju dengan apa yang diperkatakan tetapi ingin menambah bahawa hak demokratik seseorang pun ada batasannya.

Saya melihat yang hak-hak ini ada di Malaysia dengan kebebasan berkumpul, bersuara dan lain-lain tetapi ada batasannya. Batasan ini berbeza pada setiap pihak dan sama ada sebuah negara itu demokratik atau tidak, banyak dipengaruhi oleh batasan ini.

Kekecohan yang berlaku semasa berkumpul selalunya selepas perintah bersurai oleh pihak berkuasa tidak diendah oleh sesetengah orang atau pihak.

Di Amerika Syarikat di mana hak berkumpul diamalkan pihak berkuasa masih mengambil tindakan ke atas orang yang berkumpul jika arahan bersurai tidak dipatuhi atau bertukar menjadi ganas. Adakah apa yang dibuat oleh pihak berkuasa di sana berbeza dengan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan, iaitu menyuraikan orang yang berkumpul?

Hishamuddin berkata "Pilihanraya dan hak menunjuk perasaan samalah seperti isi dengan kuku dalam konsep demokrasi berparlimen". Tidak pernah pula saya melihat di Amerika di mana pihak-pihak yang bertanding dalam pilihanraya melakukan tunjuk perasaan. Yang melakukan tunjuk perasaan ialah pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan.

Pilihanraya ialah masa di mana pihak-pihak yang bertanding memujuk rakyat dengan janji-janji apa yang mereka boleh berikan pada rakyat. Malaysia memberi hak berkumpul dan bersuara semasa pilihan raya tetapi bukan untuk tunjuk perasaan. Saya tidak setuju menyamakan hak-hak semasa pilihan raya dengan hak melakukan tunjuk perasaan.