Tarian singa: Keadilan adu kepada menteri budaya
Parti Keadilan Nasional akan membuat aduan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan berhubung halangan polis bagi pertunjukan kebudayaan dalam perhimpunan parti itu Sabtu lalu.
"Sekatan aktiviti kebudayaan yang dilakukan oleh polis akan menjadi agenda utama laporan kami," kata Naib Presiden Tian Chua kepada malaysiakini .
Menurutnya, aduan ini akan dihantar selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina tetapi beliau belum menetapkan tarikh.
Dalam "Perhimpunaan Raya 100,000 Rakyat" di Kg Medan, Telok Panglima Garang, kumpulan-kumpulan tarian singa dan kompang tidak dibenarkan dipersembahkan dengan alasan ia memerlukan permit khas dan "sebab-sebab keselamatan." ([#1] Polis halang tarian singa, kompang [/#], 20 Jan)
Bagaimanapun persembahan gendang tradisi kaum India dapat diteruskan walau polis sehari sebelum ini mengeluarkan arahan melarang semua bentuk pertunjukan kebudayaan tradisional.
"Tidak masuk akal langsung! Siapa pernah minta permit untuk membuat persembahan kompang dan tarian singa," kata Tian.
"Bukannya (patung kepala) singa itu hendak makan orang di sana. Ia hanya sebagai hiburan dan alasan mereka (polis) tidak munasabah langsung."
Beliau juga berkata, Keadilan turut bercadang membuat aduan tentang isu itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selepas mendapat jawaban daripada kementerian berkenaan.
"Kami mahu lihat sejauh mana pendirian kementerian kebudayaan dalam hal ini kerana tindakan polis itu bertentangan dengan objektif kementerian," katanya lagi.
Pemimpin itu turut melahirkan rasa kesal parti itu terhadap sikap polis dalam perkara ini..
"(Pertunjukan) ini bukan hal politik untuk dihalang. Polis harus bertolak-ansur dalam hal ini," katanya.
"Melalui aktiviti kebudayaan seperti inilah, kita dapat menghalang perasaan syak wasangka antara kaum yang wujud sejak kebelakangan ini."

