Tindakan Umno bahagian Padang Besar mencalonkan 24 nama untuk dipilih bertanding kerusi Parlimen Padang Besar dianggap untuk 'menyelamatkan' karier politik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Menurut sumber-sumber Umno negeri, Badan Perhubungan Umno Perlis meminta Umno setiap bahagian menghantar tiga nama untuk diteliti sebelum dimajukan kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber tersebut, dalam pengundian yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa bahagian Padang Besar untuk memilih bakal calon bagi kerusi Parlimen Padang Besar, Azmi hanya menduduki tempat ke-16.

Pengundian dibuat oleh 27 ahli jawatankuasa bahagian pada 31 Disember lalu.

azmi khalid and padang besar umno and bnMenurut mereka, ini bermakna, jika Umno bahagian berkenaan mematuhi sepenuhnya arahan tersebut, nama Azmi tidak akan tersenarai untuk mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar yang disandangnya sekarang.

Seorang pemimpin Umno Perlis memberitahu Malaysiakini, keputusan menghantar 24 nama itu dibuat atas kehendak ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi, ketika dihubungi Malaysiakini sebelum ini, mengesahkan nama beliau turut dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Padang Besar.

Atas kehendak Zahidi

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu jumlah pencalonan yang diperolehinya.

"Zahidi menggunakan kuasanya sebagai timbalan ketua perhubungan Umno Perlis dan ketua Umno bahagian untuk menghantar senarai 24 calon tersebut.

"Saya diberitahu ada Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Padang Besar yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut tetapi ia tidak diendahkan," kata pemimpin Umno Perlis itu lagi.

Pemimpin itu berkata, Zahidi pernah memberitahunya jika AJK tidak bersetuju nama Azmi dicalonkan, biarlah nama beliau juga tidak disenaraikan dalam pencalonan tersebut.

Zahidi juga berkata sebelum ini bahawa semua orang yang berminat dan mahu bertanding dalam Parlimen Padang Besar ada dalam senarai tersebut.

"Cara ini memberi keadilan kepada semua yang mahu bertanding, biar pucuk pimpinan parti yang memilih," katanya.