Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri hari ini gagal mengesahkan dokumen yang didakwa telah dikeluarkan oleh kementerian itu dalam perbicaraan berhubung kes memiliki akhbar tanpa permit, Haraki.

Saksi pertama pendakwaan, Penolong Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan Bahasa Malaysia, Mohd Nor Mohd Daud berkata beliau perlu mengesahkan dokumen tersebut sebelum memberikan sebarang jawapan.

"Saya perlu merujuk dokumen tersebut berdasarkan akta-akta," katanya, apabila disoal peguam bela Hanipa Maidin berhubung sekeping dokumen berwarna hijau yang bertulis "Panduan Permohonan Permit Penerbitan."

"Pihak saksi tidak boleh mengesahkan sekarang. Jadi saya pun tidak boleh meneruskan soalan," kata Hanipa kepada mahkamah dan memohon kes itu ditangguhkan.

Peguam bela itu sebelum ini memohon dokumen itu didaftarkan sebagai eksibit pihak pembelaan.

Hanipa mewakili Pengurus Pemasaran sebuah syarikat Penerbitan Pemuda, Zabidi Morad yang dituduh di bawah Seksyen 5 (2)(b) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

November lalu, Zabidi dituduh di bawah Seksyen 5 (1)(a) tetapi telah dipinda pagi tadi apabila mahkamah menyedari pecahan (1) (a) seksyen tersebut tidak terkandung dalam akta itu, jelas Hanipa kepada malaysiakini.

Sekumpulan lima pegawai Unit Kawalan Penerbitan KDN telah merampas sebanyak 545 naskhah Haraki di pejabat syarikat penerbitan itu di Jalan Gombak pada 9 Mei tahun lepas.

'Black 14'

Syarikat milik bekas pengarang Detik, Ahmad Lutfi Othman menerbitkan tabloid tidak berkala itu dengan tajuk muka depan "Black 14 capai target." Akhbar itu melaporkan perhimpunan di Kuala Lumpur anjuran Parti Keadilan Nasional pada 15 April 2000 bagi menyambut ulang tahun pertama hukuman penjara terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah petang tadi terpaksa ditangguhkan sebentar apabila Hanipa membantah soalan pegawai undang-undang KDN sebagai pihak pendakwa, Ngeh Kiet Fock berhubung sama ada tertuduh dan syarikat itu pernah mengemukakan sebarang permohonan permit.

"Soalan pendakwa (itu) tidak ada asasnya dengan soalan (sebelumnya). (Bagaimana) tiba-tiba wujud Penerbitan Pemuda begitu sahaja," kata Hanipa.

Magistret Mohamad Kamil Nizam kemudian memberikan masa kepada pegawai pendakwa dari KDN itu untuk menyusun semula soalan-soalan beliau supaya berkaitan satu sama lain.

Mahkamah memutuskan perbicaraan ditangguhkan 5 Mac depan.