Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin hari ini menafikan bahawa beliau pernah menerima hadiah dari peguam Datuk VK Lingam pada 1995.

Katanya, dakwaan adik lelaki Lingam - Thirunama Karasu - bahawa beliau (Eusoff) dompet, beg tangan wanita dan telefon bimbit, adalah rekaan semata-mata.

Ketika menyambung keterangannya hari ini, Eusoff juga menafikan dakwaan kononnya Lingam pernah datang ke rumahnya dengan membawa beberapa fail dan mengadakan perbincangan dengannya ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara.

Beliau juga berkata, Lingam juga tidak pernah meminta pertolongannya untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.

Sementara itu Bernama melaporkan Peguam Datuk V.K.Lingam memberitahu siasatan suruhanjaya siasatan diraja bahawa adiknya itu membuat dakwaan rasuah terhadapnya selepas beliau gagal memberikan banglo, kereta Mercedez Benz dan wang yang banyak kepada Thirunama.

"Thirunama beritahu saya yang beliau akan memporak-perandakan hidup saya jika saya tidak memenuhi tuntutannya," katanya.

Kepada soalan peguam yang mewakilinya, R.Thayalan, bagaimana adiknya sendiri sanggup mengemukakan dakwaan sebegitu terhadapnya, Lingam berkata panjang ceritanya tetapi beliau akan cuba meringkaskannya untuk inkuiri itu.

Lingam berkata beliau mempunyai enam adik beradik dan beliau anak sulung. Selepas ibu bapa mereka meninggal dunia, beliau dan empat adiknya telah menjaga dan membantu Thirunama dan adik lelaki bongsunya, Rajendram Vellupillai.

"Tetapi mereka mahu semuanya percuma tanpa bekerja dan saya tidak setuju."

Katanya apabila beliau enggan memberikan banglo, kereta Mercedez Benz, wang yang banyak dan membiayai pendidikan anak-anak Thirunama, adiknya itu mengugut akan memporak-perandakan hidupnya dan berkata yang beliau telah membuat dua laporan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Menjilid dokumen

vk lingam Lingam berkata peguam bela Thirunama, M.Manoharan, memanggil beliau dan memberitahunya bahawa Thirunama telah membuat dua laporan polis dan bertanya kepadanya sama ada beliau akan membayar wang kepada adiknya itu.

Beliau enggan membayar kerana semua dakwaan yang dibuat oleh Thirunama adalah tidak betul dan BPR telah menyelesaikan penyiasatan, katanya dan menambah: "Adik saya, Thirunama, menghidap masalah mental psikik."

Kepada soalan peguam Wee Choo Keong, yang mewakili Thirunama, Lingam menegaskan beliau membeli sebuah rumah di Seapark berharga RM21,000 pada 1972 dan semua adik beradiknya tinggal bersama-sama di situ.

Katanya Thirunama bekerja dengan beliau dari Februari hingga Jun 1996 sebagai pekerja pentadbiran dan tugasnya ialah membuat salinan dokumen dan membantu menjilid dokumen.

"Dia hanya bekerja dua jam sehari. Dia datang kerja kira-kira jam 9.45 pagi dan meninggalkan pejabat kira-kira dua jam kemudian. Dia tidak kerja sepenuh masa kerana perlu menjaga dua anaknya yang menghidap asma dan isterinya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Sungei Way," katanya.

Pada ketika itu, pengerusi suruhanjaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor meminta Wee membataskan soalannya kepada perkara yang relevan yang dibenarkan oleh suruhanjaya itu tetapi Wee tetap berbuat demikian dan pesuruhjaya Datuk Mahadev Shnkar terpaksa mengingatkannya supaya tidak menyoal perkara yang tidak relevan.

Nafi mahu beli rumah


Apabila Wee tetap mengemukakan soalan yang tidak relevan selepas berhenti rehat 10 minit, Shankar berkata beliau akan mengambil alih untuk mengemukakan soalan berhubung satu bahagian dalam kenyataan yang dibuat oleh Thirunama.

Merujuk kepada kenyataan bahawa beliau dan Thirunama pergi ke rumah bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin pada awal 1995 untuk menghantar beberapa fail, Lingam berkata ia tidak benar.

Beliau juga menafikan bahagian yang menyatakan beliau berhasrat membeli sebuah rumah bagi Eusoff pada Oktober 1995.

Beliau berkata adalah tidak benar bahawa beliau mengarahkan Thirunama menghantar sebuah beg hitam yang di dalamnya mengandungi sekeping sampul surat berwarna coklat, sebuah beg tangan wanita dan sebuah dompet lelaki, kesemuanya dari Itali kepada Eusoff.

Lingam juga tidak pasti bahawa antara Januari hingga Mac 1996, beliau telah memberikan RM1,200 kepada Thirunama untuk membeli telefon bimbit daripada Mutiara Telecommunication di Jalan Sultan Ismail untuk Eusoff.

Beliau menjawab tidak benar kepada soalan wakil Badan Peguam Malaysia Ranjit Singh mengenai sama ada beliau dan isterinya memiliki sebuah kereta BMW dengan nombor pendaftaran WDN 788 dan sama ada beliau tahu bahawa Eusoff atau mana-mana anggota keluara Eusoff adalah pemilik kereta itu.