Adalah menjadi kewajipan setiap manusia yang terjajah berjuang mendapatkan kemerdekaannya. Menjadi kewajipan setiap manusia yang tertindas membela nasibnya. Menjadi kewajipan juga untuk membela nasib saudara dan orang lain yang ditindas. Oleh itu adalah menjadi wajib untuk menentang pemerintahan yang zalim.

Kerajaan yang ada mungkin memenangi pilihanraya tetapi apakah mereka benar-benar menjadi pilihan rakyat. Bagaimana dengan penipuan, pengundi hantu, silap mata Suruhanjaya Pilihanraya dan 'blackout' di Sarawak? Ini semua membuka ruang untuk penipuan dan menafikan pilihan rakyat. Oleh yang demikian pilihanraya yang baru lalu tidak boleh menjadi ukuran sebenar penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional.

Kezaliman yang memuncak menuntut rakyat untuk bertindak dengan apa saja cara yang ada bagi membetulkan keadaan. Apakah rakyat boleh menunggu sehingga lima tahun sedangkan penipuan dan penganiayaan berlaku terang-terang di hadapan mata? Ratusan juta wang rakyat dirampas untuk memenuhi tembolok Tajudin.

Jika jumlah untung (daripada jualan RM1.7 bilion itu) dimasukkan dalam akaun simpanan tetap, Tajudin akan mendapat RM24 juta faedah setahun. Ini bermakna tanpa berbuat apa-apa sekalipun Tajudin memperolehi RM54 setiap minit. Tidurnya RM54 seminit, apa-apa kegiatan hariannya pun RM54 seminit. Bagaimana peneroka dan pekebun kelapa? Wakil rakyat mereka dari Barisan Nasional tetapi mereka hanya perolehi pendapatan RM50 sebulan. Apakah dalam kemiskinan dan kemelaratan ini mereka mampu menunggu sehingga lima tahun?

Sanggupkah kita menunggu lima tahun untuk menghentikan penyamunan wang kita oleh pemerintah? Dalam lima tahun ini, berapa bilion lagi yang mahu kita biarkan mereka sapu?

Memang rakyat mahu menjatuhkan kerajaan yang korup dan zalim. Mencegah kezaliman dan kemungkaran adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia sepanjang masa. Kita tidak boleh menunggu sehingga lima tahun lagi baru mahu bertindak menghapuskan kezaliman ini.

Apabila pilihanraya diadakan pada 1999, seluruh tenaga dan sumber kita ditumpukan untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad. Kita tidak memboikot pilihanraya tetapi kerana pihaknya memperalatkan sumber dan dana negara, kita gagal menjatuhkan kerajaan melalui pilihanraya umum ke-10 itu. Apakah dengan itu bermakna kita perlu diam dan tidak berbuat apa-apa, sekadar mahu menunggu 2004?

Kita harus meneruskan usaha untuk menjatuhkan Mahathir apabila pilihanraya ke-11 menjelang kelak. Tetapi sementara menanti pilihanraya kita tidak boleh berdiam diri. Demonstrasi harus diteruskan, kerana hanya bahasa ini yang difahami mereka. Mereka tidak mahu mendengar dan berubah, oleh itu tidak ada gunanya perundingan dan nasihat. Mereka sudah tuli dan buta, hati mereka dicap maka mereka tidak mahu berubah. Kita harus berbicara dalam bahasa yang mereka fahami - kuasa rakyat.

Oleh itu, seluruh tenaga rakyat perlu ditumpukan untuk menghentikan kezaliman dan penyelewengan.

Mereka menahan Anwar Ibrahim, tetapi rakyat tetap bangkit. Mereka tahan Mohd Ezam Mohd Nor, rakyat akan tetap bangkit. Seluruh kekuatan rakyat harus digerakkan demi menjatuhkan diktator tua.

Hanya satu pilihan yang ada pada Mahathir untuk mengelakkan kebangkitan kuasa rakyat - undur segera!

Bagi rakyat, antara pilihanraya dan jalanraya tidak ada untuk dipilih. Kedua-duanya digunakan. Apa sahaja caranya asalkan pemerintah zalim dijatuhkan.