S&J: 'Nampak macam saya, suara macam saya'
Peguam Datuk VK Lingam - orang yang menjadi fokus utama dalam klip video Lingam - hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat video tersebut yang didakwa mengatur pelantikan hakim-hakim.
Beliau - saksi yang ke-13 - yang berpakaian kod hitam dan bertali leher merah putih, memberi keterangan mulai jam 12.30 tengahari. Beliau memulakan keterangannya dengan menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Nordin Hassan yang bertanya bilakah beliau diterima menjadi peguam.
Peguam Datuk VK Lingam - orang yang menjadi fokus utama dalam klip video Lingam - hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat video tersebut yang didakwa mengatur pelantikan hakim-hakim.
Beliau - saksi yang ke-13 - yang berpakaian kod hitam dan bertali leher merah putih, memberi keterangan mulai jam 12.30 tengahari. Beliau memulakan keterangannya dengan menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Nordin Hassan yang bertanya bilakah beliau diterima menjadi peguam.
Lingam: 1988
Adakah anda kenal orang yang bernama Vincent Tan?
Lingam: Ya.
Sejak bila?
Sekitar 1991.
Bagaimana anda mengenalinya?
Firma guaman saya adalah salah sebuah panel guaman untuk Kumpulan Berjaya (milik Tan) dan saya juga pernah mengendalikan urusan guaman untuk Vincent Tan.
Adakah anda kenal Tengku Adnan Tengku Mansor?
Ya.
Sejak bila?
Pada sekitar tahun 1990-an, ketika beliau menjadi pengarah eksekutif syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Berjaya.
Bagaimana dengan Loh Mui Fah? Anda kenal dia?
Ya.
Bila?
Sejak tahun 1995. Beliau pernah datang ke pejabat saya. Beliau biasanya datang tiga kali dalam tempoh setahun, bukan sebagai pelanggan. Biar saya jelaskan bahawa dia tidak pernah menjadi pelanggan saya, saya mempunyai dokumen untuk membuktikannya, tetapi bapanya pernah menjadi pelanggan saya.
Adakah anda ada membincangkan sebarang perkara guaman dengan Loh Mui Fah (kiri)?
Seingat saya, saya tidak pernah menguruskan sebarang urusan guaman untuknya, tidak pernah berbincang mengenai urusan guaman dengannya atau pernah menjadi peguamnya.
Adakah dia pernah ke rumah anda?
Ya, tiga hingga empat kali datang ke rumah saya sekarang (di Kelana Jaya).
Adakah anda mengenali (anak lelaki Mui Fah) Loh Gwo Burne?
Ya, dia pernah mengikut bapanya datang ke rumah saya dan beberapa kali datang ke pejabat saya.
Adakah anda telah melihat video yang didakwa menunjukkan anda berbual melalui telefon?
Ya, saya telah melihatnya. BPR menunjukkannya kepada saya (ketika disoalsiasat oleh BPR) dan saya juga telah melihatnya di Internet ketika saya berada di seberang laut (sewaktu video itu didedahkan).
Klip video selama 14 minit itu kemudiannya ditunjukkan kepada Lingam
Adakah ini sama dengan video yang anda lihat itu?
Bolehkah saya perjelaskan sama ada ini adalah video asal?
Bagaimanapun, pengerusi suruhanjaya diraja, Tan Sri Haidar Mohd Noor menasihat Lingam supaya menjawab terlebih dahulu soalan yang dikemukakan kepadanya.
Lingam: Ya, saya telah melihatnya sebelum ini.
Adakah ada orang yang berbual melalui telefon tersebut?
Ia nampak macam saya.
Nordin kemudiannya memberitahu Lingam bahawa saksi-saksi sebelum ini telah mengesahkan secara positif bahawa beliau adalah orang dalam klip video tersebut.
Mereka termasuk Mui Fah, Gwo Burne, Tengku Adnan, penganalisa kanan CyberSecurity Malaysia Mohd Zabri Adil Talib yang berkata klip video itu tulen dan Tun Eusoff Chin (foto) yang menyatakan bahawa suara orang itu sama seperti suara Lingam. Contoh suara Lingam telah diuji di Sepanyol dan didapati sepadan.
Jadi adakah anda orang yang berbual melalui telefon tersebut?
Jawapan saya - tidak kira apa orang lain kata - ia nampak macam saya, bercakap macam saya. Saya telah mendapatkan nasihat pakar-pakar saya di luar negeri (mereka kata) satu-satu cara untuk mengesahkan ketulenan tersebut ialah dengan mendapatkan video asal atau peralatan (yang merakamkan klip video tersebut). Jika saya ada (video asal atau peralatan tersebut), maka saya akan hantar kepada pakar-pakar saya dan jika perlu, saya akan minta mereka memberi keterangan.
Bolehkah anda mengenalpasti orang yang duduk di sofa bercakap kepada orang yang nampaknya macam anda? (Hadirin ketawa)
Ia tidak begitu jelas, ia nampak seperti Loh Mui Fah.
Anda bercakap dengan siapa dalam klip video tersebut?
Saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap...
Haidar (foto) mencelah: Anda tak tahu siapa?
Saya tidak tahu dengan siapa saya bercakap, tetapi pastinya saya bukan bercakap dengan Tun Ahmad Fairuz (Sheikh Abdul Halim, Hakim Besar Malaya ketika itu) kerana saya tidak pernah ada nombor telefon beliau dan beliau juga tidak pernah ada nombor telefon saya. Sehingga inipun, beliau tidak pernah menelefon saya dan saya tidak pernah menelefon beliau.
Berbalik kepada klip video tadi, adakah anda mengaku orang tersebut adalah anda?
Ia nampak macam saya. Anda boleh tanya soalan tersebut 100 kali sekalipun, saya akan tetap memberi jawapan yang sama.
Apakah tujuan Loh Mui Fah pergi ke rumah anda?
Beliau datang menziarahi saya sebagai seorang rakan sosial. Kadang-kadang beliau datang bersama anak lelakinya, kadang-kadang beliau datang dengan isteri keduanya atau teman wanitanya (mistress), Puan Tong Mei Lan.
Adakah anda tahu siapa yang merakam klip video tersebut?
Saya tidak tahu
Siasatan suruhanjaya itu ditangguhkan ketika waktu makan tengahari dan Lingam menyambung keterangannya di sebelah petang.
Apabila prosiding di sambung semula, Nordin menyoal Lingam mengenai transkrip perbualan telefon. Lingam menjawab "tidak benar' dan "saya tidak ingat berkata demikian" kepada semua soalan.
(Transkrtip klip video)
Ah, jadi kita simpannya sebagai rahsia. Saya bekerja keras untuk itu. Kemudian terdapat sepucuk surat, menurut Tengku - saya akan menemuinya esok - terdapat sepucuk surat yang dihantar kepada … ah … CJ - Maksud saya Tan Sri Dzaiddin - bahawa Datuk Heliliah, …er Datuk Ramli dan Datuk Maarop akan dilantik sebagai hakim, dan beliau menolak pencalonan Dr Andrew Chew dan apa itu Zainudin Ismail lah kerana Zainuddin Ismail yang mengkritik pelantikan anda dan pelantikan Tan Sri Mohtar.
Nordin: Disebut "beliau menolak", anda tahu apa maksudnya?
Lingam: Bila saya baca transkrip ini, nampaknya seperti Tun Dzaiddin menolaknya.
Nordin: Bagaimana anda tahu Tun Dzaiddin menolak pelantikan tersebut?
Lingam: Saya tidak tahu mengapa beliau telah menolaknya tetapi sekitar bulan Oktober 2001, saya ada dengar dari para peguam yang menghadiri perbicaraan di mahkamah....Kami berbincang di kalangan peguam siapa yang dilantik dan dinaikkan pangkat. Saya dengar gosip ... Selepas itu pada penghujung bulan Disember 2001, Saya dengar dua daripada mereka, Dr Andrew Chui dan Zainuddin Ismail ditolak.
Bila ditekan supaya menamakan sumber-sumbernya, Lingam menjawab: “Saya bercakap dengan ramai peguam. Saya tidak ingat".
Lingam juga menafikan terbabit dalam sebarang pengaturan pelantikan hakim-hakim.
Nordin: Datuk, adakah anda pernah berbual melalui telefon dengan Hakim Besar Malaysia berhubung pelantikan hakim-hakim?
Lingam: Anda merujuk kepada Tun Ahmad Fairuz?
Nordin: Ya.
Lingam: Saya tidak pernah bercakap dengan beliau melalui telefon.
Nordin: Antara hujung 2001 dan awal 2002, adakah anda ingat bahawa Hakim Besar Malaya adalah Tun Ahmad Fairuz?
Lingam: Mungkin.
Nordin: Adakah anda mempengaruhi mana-mana pihak untuk melantik Tun Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara?
Lingam: Saya tidak pernah mempengaruhi sesiapa pun supaya melantik Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.
Nordin: Adakah anda pernah bercakap dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pelantikan hakim-hakim?
Lingam: Saya tidak pernah bercakap dengan PM mengenai pelantikan hakim-hakim.
Nordin: Adakah anda pernah meminta Tan Sri Vincent Tan supaya bercakap dengan (bekas) perdana menteri supaya melantik Tun Ahmad Fairuz sebagai ketua hakim negara?
Lingam: Tidak pernah.
Thayalan mengemukakan tiga dokumen mahkamah - afidavit dan perintah - sebagai bukti bahawa Lingam tidak pernah mewakili Loh Mui Fah dalam sebarang urusan guaman.
Thayalan: Anda ada kata Loh Mui Fah telah datang menemui anda di pejabat. Mengapa?
Lingam: Sebagai kawan untuk membincang soal perniagaan, lawatan sosial, tiada kena mengena dengan urusan guaman.
Thayalan: Anda juga memberi keterangan bahawa beliau datang ke rumah anda tiga atau empat kali. Mengapa?
Lingam: Beliau datang ke rumah sebagai rakan sosial.
Thayalan: Adakah anda berbincang sebarang perkara guaman dengan Loh Mui Fah?
Lingam: Seingat saya, tidak ada.
Thayalan: Balik kepada jawapan anda bahawa anda tidak ingat (rakaman perbualan) dalam video tersebut. Ia didakwa berlaku pada 20 Disember 2001. Bolehkah anda beritahu mengapa anda tidak ingat?
Lingam: Tanpa melihat video tersebut, saya tidak ingat. Selepas melihat video itu pun, saya tidak ingat. Ia sudah lama berlaku. Lihat video tersebut, terdapat botol wain, wiski atau brandy dan 7-Up. Saya mungkin banyak minum. Itu adalah sesi minum, perayaan, parti. Saya mungkin banyak minum (dan) ianya lebih enam tahun lalu. Saya tidak ingat.
Thayalan: Anda telah berkata atau mengesahkan bahawa anda tidak pernah bercakap dengan Tun Ahmad Fairuz melalui telefon, sama ada beliau atau anda yang panggil?
Lingam: Betul.
Thayalan: Sekarang anda kata anda tidak ingat, jadi bagaimana anda boleh mengesahkan yang anda tidak bercakap?
Lingam: I do not have his number. He does not have my number. Until today, Tun Ahmad Fairuz has never spoken to me on the telephone.
Thayalan: Datuk (Lingam), dalam klip video perbualan telefon tersebut, ia menunjukkan anda hendak bertanya kepada Tengku Adnan dan Tan Sri Vincent Tan serta personaliti lain untuk melakukan sesuatu berhubung pelantikan hakim-hakim. Jika ianya tidak benar, mengapa anda menyatakan semua ini?
Lingam: Nampaknya, dari video tersebut, terdapat sesi minum atau parti, saya mungkin banyak minum.
Lingam: Rakan-rakan saya memberitahu saya bahawa saya akan cakap mengarut bila saya minum wain (senyum).
Thayalan: Loh Gwo Burne, anak lelaki Loh Mui Fah memberi keterangan pagi ini dan dia berkata anda keluar dan membeli wain. Bolehkah anda mengesahkannya?
Lingam: Setiapkali Loh Mui Fah menziarahi saya, beliau akan bawa tiga hingga enam botol wain merah dan satu atau dua botol wiski atau brandy.
Thayalan: Anda juga mengesahkan bahawa anda akan minum alkohol dengan Loh Mui Fah bila dia datang?
Lingam: Beliau mendesak kami minum, jadi untuk melayannya, kami minum.
Thayalan: Adakah anda kenal Manjit Singh?
Lingam: Ya, saya mengenalinya. Manjit sangat rapat dan kawan karib saya.
Thayalan: Bolehkah anda mengesahkan bahawa gambar ini adalah anda, Manjit Singh dan Loh Mui Fah?
Lingam: Ya, saya boleh mengesahkannya. Saya juga perlu sebut bahawa Manjit tinggal dekat rumah saya dan dia selalu datang.

