Peguam Datuk VK Lingam mahu mengeluarkan semua keterangan yang dikemukakan kepada suruhanjaya siasatan dirja berhubung percutiannya ke New Zealand bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin.

Peguamnya, R Thayalan memberitahu suruhanjaya tersebut hari ini bahawa keterangan berhubung percutian tersebut tidak relevan dalam skop siasatan yang dijalankan terhadap klip video Lingam.

Pengerusi Suruhanjaya tersebut, Tan Sri Haidar Mohamed Noor berkata, pihaknya perlu memikirkan permintaan tersebut sambil mengalu-alukan hujah dari peguam Majlis Peguam dan peguam-peguam pemerhati yang lain.

Berikutan itu, prosiding suruhanjaya itu esok akan hanya bermula jam jam 2.30 petang untuk mendengar hujah-hujah mengapa keterangan mengenai percutian itu perlu dikekalkan.

Ia juga bertujuan untuk masa bagi memberi masa kepada para peguam menyediakan hujah masing-masing.

Minggu lalu, Eusoff menjadi sasaran pertanyaan para peguam berhubung percutian kontroversi tersebut pada 1995, yang pada mulanya didedahkan melalui Internet.

Eusoff berkata, beliau terserempak dengan Lingam sewaktu bercuti di New Zealand dan peguam itu mahu mengikutnya di sana.

Para peguam, bagaimanapun, mendakwa mereka pergi bercuti bersama - mencerminkan hubungan rapat antara mereka.