Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz sedia dicalonkan dalam pilihanraya umum akan datang jika khidmatnya masih diperlukan.

"Jika Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu saya bertanding lagi, saya akan bertanding," katanya kepada Malaysiakini dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kampung Baru di ibu negara semalam.

"Saya tidak ada musuh di Titiwangsa, Tetapi dalam politik ada orang suka, ada orang tidak suka. Ini biasa," katanya ketika ditanya mengenai hubungan beliau dengan beberapa pemimpin politik yang berminat bertanding kerusi Parlimen tersebut.

Antara nama-nama yang dilaporkan berminat menjadi calon Titiwangsa dalam ;pilihanraya umum akan datang ialah Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria dan Bendahari Agung Umno, Datuk Mohd Azim Zabidi.

Astaman, 58, menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dalam pilihanraya umum lalu menggantikan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Drs Suleiman Mohamed yang digugurkan dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, beliau digantung tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana didakwa terbabit dengan politik wang dalam pemilihan parti pada tahun 2004. Penggantungannya berakhir pada Oktober tahun lalu.

Penggantungannya menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan ketua Umno bahagian Wangsa Maju.

Beliau juga menafikan faktor beliau bukan orang tempatan menjadi sebab untuk diketepikan.

'Orang luar'


"Datuk Shahrizat Abdul Jalil merupakan Ketua Wanita Umno bahagian Kepong tetapi bertanding di Parlimen Lembah Pantai.

"Lim Kit Siang yang berasal dari Batu Pahat bertanding di Ipoh Timur. Salahuddin Ayub, orang Tanjung Piai bertanding di Kubang Kerian.

"Saya Ketua Umno bahagian Wangsa Maju tetapi asal orang Kampung Baru," katanya sebagai menjawab dakwaan beliau merupakan 'orang luar' Titiwangsa.

Dalam mesyuarat Umno bahagian Titiwangsa yang diadakan di sebuah hotel terkenal di ibu negara awal tahun lalu, perwakilan meluluskan usul bahawa mereka mahu orang tempatan bertanding di Parlimen tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.

Astaman berkata, beliau bertanding di Titiwangsa dalam pilihanraya umum lalu kerana arahan dari pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ditanya mengenai begitu ramai yang berminat bertanding di Titiwangsa, beliau berkata: " semua orang boleh melobi tetapi kata putus adalah di tangan Pengerusi BN."

Astaman berkata, beliau percaya rekod perkhidmatannya selama ini menjadi sandaran dan penilaian untuk dipilih sekali lagi bertanding di Parlimen Titiwangsa.

"Saya membuat kerja seperti yang diamanahkan oleh parti kepada rakyat. Saya wakil kepada rakyat," katanya lagi.