UM nafi hantar surat jemputan program SPR
Pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) menafikan pihaknya telah mengeluarkan surat jemputan kepada pihak media untuk membuat liputan majlis pelancaran UM sebagai unit peti undi (UPU) bagi pilihanraya umum, malam tadi.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Aziah Saad pihaknya tidak menganjurkan program tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, program yang diadakan malam tadi ialah majlis dialog antara pemimpin pelajar dengan Menteri Pengajian TInggi, Datuk Mustapa Mohamad.

"Kita tahu siapa yang sebenarnya menghantar surat ini. Orang ini membuat fitnah dengan mengedarkan surat jemputan kepada pihak media. Orang ini bukan dari pejabat Naib Canselor," katanya.
Surat tersebut yang mempunyai kepala surat UM, menyebut univerisiti itu akan menjadi salah satu pusat bagi Unit Peti Undi (UPU) kawasan UM dalam pilihanraya umum ke-12.
Menurut surat itu, tujuan majlis pelancaran itu diadakan adalah untuk memberi galakan kepada mahasiswa khususnya, yang telah layak mengundi untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab tersebut.
Katanya, majlis pelancaran itu diadakan pada 15 Januari (malam tadi), jam 8 malam bertempat di Auditorium Tun Mohamad Suffian, Fakulti Undang-undang UM.
Tiada program SPR
Menurut surat itu lagi, tetamu kehormatnya ialah Mustapa dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Surat tersebut ditandatangani oleh Sabariah Ishak dari Pejabat Naib Canselor UM. Ia dihantar kepada media arus perdana serta media lain termasuk Malaysiakini, Siasah, Harakah, Suara Keadilan, PAS TV dan WTV8.
Ketika ditemui semalam, Aziah menafikan surat itu dihantar oleh Sabariah yang memang ada bertugas di Pejabat Naib Canselor.
Aziah kemudiannya meminta Malaysiakini menghantar faks salinan surat tersebut.
Sementara itu, wartawan Malaysiakini yang dihantar untuk membuat liputan majlis itu semalam, telah bertanya kepada Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof Madya Dr Azrae Idris mengenai surat tersebut.
Beliau memberitahu wartawan Malaysiakini itu bahawa tiada program yang membabitkan Abdul Rashid diadakan di UM malam tadi.
Tidak boleh masuk
Dr Azrae mendakwa pihaknya tidak tahu menahu mengenai surat dan program tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan semua wartawan menghadiri majlis ramah mesra pemimpin pelajar UM dengan Mustapa.
"Kita tidak jemput wartawan datang kerana program ini merupakan majlis dialog dengan menteri dan ia majlis tertutup untuk pelajar UM sahaja.
"Jadi wartawan tidak dibenarkan masuk," tambahnya.
Dr Azrae juga tidak membenarkan wartawan Malaysiakini menemubual Mustapha walaupun menteri pengajian tinggi itu kelihatan bersedia untuk menjawab soalan.
Beliau kemudiannya membisik "Malaysiakini, Malaysiakini". kepada Mustapha yang terus berjalan masuk ke dalam dewan.