Beberapa ketua bahagian Umno menafikan mereka menerima surat dari Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang meminta mereka menjayakan "Isu Perkauman" bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Semalam, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat, Salahuddin Ayub membuatlaporan polis terhadap surat tersebut yang didakwanya berunsur perkauman dan merbahaya kepada keselamatan negara.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketua Umno bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, amat tidak munasabah Radzi menulis surat mengenai isu yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Katanya, beliau mengesyaki surat tersebut ditulis oleh pembangkang "kerana mereka tahu pilihanraya umum semakin hampir".

"Jangan terpedaya dengan permainan pembangkang kerana mereka boleh membuat apa sahaja untuk memenangi pilihanraya" katanya ketika dihubungi hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara kira-kira jam 3 petang semalam.

Berikutan laporan itu, Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Dang Wangi, ASP Sairah Dollah mengambil keterangan dari Salahuddin selama kira-kira 30 minit.

Siasat kesahihan surat

Surat tersebut bertarikh 20 Disember 2207 dan ditandatangani oleh Radzi.

Kandungan surat itu berbunyi: Saya mengambil kesempatan ini untuk menghebahkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang bersidang pada 19 Disember 2007 agar pelaksanaan pelan tindakan untuk menjayakan "Isu Perkauman" menjadi tanggungjawab bersama oleh Setiausaha Badan Perhubungan Negeri/Ketua-ketua Bahagian dengan kerjasama dari rakan komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Pengerusi Perhubungan Negeri (Pengerusi BN Negeri) akan memberi taklimat khas dan melaksanakan Pelan ISU PERKAUMAN yang dipersetujui bersama oleh Parti-parti komponen BN yang bersidang pada 6 Disember 1997. Saya amat menghargai tindakan dan sokongan padu dari tuan agar sokongan rakyat kepada BN pulih semula.

Manakala Ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, bahagiannya tidak pernah menerima surat sedemikian rupa dari ibu pejabat parti.

"Setahu saya rakan-rakan ketua Umno bahagian lain di Negeri Sembilan juga tidak menerima surat tersebut," katanya lagi.

Beliau berkata, jika benar ada surat tersebut, adalah wajar untuk meneliti dan mengesahkannya terlebih dahulu.

Katanya, ini kerana beliau bimbang dalam keadaan pilihanraya umum semakin hampir, ada pihak-pihak tertentu yang mengedarkan surat tersebut untuk kepentingan politik mereka.

Sementara itu, Salahuddin berkata, beliau membuat laporan polis kerana mahu kesahihan surat itu disiasat segera kerana isu perkauman sangat berbahaya kepada keselamatan negara.

Katanya, beliau menerima surat tersebut yang dihantar melalui pos ke pejabat PAS di Jalan Raja Laut di ibunegara pada kira-kira jam 4 petang Selasa lalu.

MT bincang isu Hindraf

"Kita mahu tahu kesahihannya. Jika benar, polis perlu mengambil tindakan kerana ia membahayakan orang ramai dan negara.

"Jika surat itu tahu palsu, Radzi mesti membuat penafian mengenai perkara tersebut," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis tersebut semalam.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, beliau tidak terkejut jika BN menggunakan isu perkauman dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Katanya, jika dilihat dalam isu Hindraf, BN dan Umno menggunakan isu itu supaya orang India dan Melayu saling bermusuhan.

Sementara itu, seorang ahli MT Umno, Datuk Mohd Norza Zakaria, ketika dihubungi, berkata beliau tidak sedar mengenai adanya surat tersebut.

Menurutnya, mesyuarat MT pada hari berkenaan membincangkan mengenai tindakan ke atas lima pemimpin Hindarf.

"MT setuju dengan tindakan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil tindakan ke atas pemimpin Hindraf terbabit," katanya.

Kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit ialah P Uthayakumar, R Kenghadharan, M Manoharan, V Ganabathirau and T Vasanthakumar yang kini ditahan kem tahanan Kamunting.

Sementara itu, sumber-sumber memberitahu, tiada mesyuarat parti-parti komponen BN pada 6 Disember tahun lalu seperti yang ditulis dalam surat tersebut.