Presiden MCA, Wee Ka Siong menggesa agar siasatan penuh dan telus dilakukan terhadap dakwaan bahawa pegawai-pegawai SPRM terlibat dalam skema “mafia korporat”, yang didakwa menggunakan serbuan dan intimidasi untuk memaksa tokoh perniagaan menjual saham mereka.

Tuntutan Wee itu menyusul selepas laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa menteri-menteri parti tersebut akan mendesak penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan berkenaan dalam mesyuarat kabinet Jumaat ini.

“Mafia korporat adalah isu serius yang perlu ditangani... siasat secara menyeluruh dan telus, heret mana-mana pesalah ke muka pengadilan, (pastikan) siasatan dan hukuman dilaksana secara bersasar dan profesional .

“Jangan bekukan akaun syarikat senaraian awam sewenang-wenangnya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, Wee turut mengketengahkan bagaimana syarikat-syarikat mengalami kerugian apabila akaun mereka dibekukan oleh SPRM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Presiden MCA itu berkata, walaupun amalan rasuah dan pengubahan wang haram tidak boleh dibiarkan, “kita harus berwaspada dengan satu alat berkuasa di bawah perundangan tersebut, iaitu tindakan membekukan akaun syarikat-syarikat yang tersenarai awam”.

Sambil memetik beberapa contoh, dia berhujah bahawa tindakan penguatkuasaan sering kali dilihat sebagai “berlebihan” (overdose) dan oleh itu, kuasa sedemikian mesti disertakan dengan mekanisme pemantauan yang betul dan ketat.

“Kita tidak boleh mengabaikan kesan negatif terhadap operasi syarikat dan harga saham, yang akhirnya memberi impak kepada pelabur kecil,” tambahnya.

Wee merujuk kepada kes tahun 2022 yang melibatkan pengeluar pakaian dalam, Caely Holdings Bhd, apabila akaun syarikat berkenaan serta anak-anak syarikatnya telah dibekukan sejak April tahun tersebut.

[Baca berita penuh]