Ketua Polis Kuala Lumpur tidak menjawab rayuan yang dikemukakan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk mendapatkan permit bagi mengadakan Malam Solidariti untuk mangsa ISA di Dataran Merdeka malam ini.

GMI mengemukakan rayuan itu semalam selepas polis daerah Dang Wangi mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram.

Bagaimanapun, para aktivis dan keluarga tahanan ISA akan cuba mengadakannya berhampiran Dataran Merdeka, kata Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh

“Kita lihat apa akan jadi kemudiannya. Kita akan cuba mengadakannya di mana juga kita berkumpul," kata Syed Ibrahim.

Polis dijangka menutup Dataran Merdeka malam ini.

Semalam, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman mendakwa GMI 'enggan' mengemukakan borang permohonan apabila diminta berbuat demikian dalam satu perjumpaan Rabu lalu.

Teknikal

GMI bagaimanapun menafikannya, dan mendakwa dokumen tersebut telah dikemukakan pada 26 Disember 2007, diikuti dengan sepucuk surat pada 28 Disember.

Zulkarnain menjawab surat tersebut pada 2 Januari, dengan menyatakan permohonan tersebut ditolak, antaranya, atas alasan keselamatan dan GMI bukan badan berdaftar. [Lihat surat]

Pada masa ini, terdapat kira-kira 90 tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting, Perak.

Yang terbaru ialah lima pemimpin Hindraf yang ditahan pada 13 Disember 2007 atas alasan keselamatan.

Zulkarnain berkata, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Polis terhadap individu yang menyertai perhimpunan tersebut.