TVET lahirkan graduan mahir, kompetitif selari misi NIMP 2030
WAWANCARA | Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi komponen strategik dalam pembangunan modal insan negara bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan, sejajar dengan hala tuju transformasi industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Melalui NIMP 2030, MITI - yang melancar, melaksanakan dan memantau pencapaian pelan itu - memfokuskan peralihan Malaysia ke arah industri bernilai tinggi, berteknologi maju dan berdaya saing di peringkat global, sekali gus memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan sektor-sektor strategik negara seperti pembuatan termaju, automotif dan kenderaan elektrik (EV), teknologi hijau serta semikonduktor.
Justeru, kerjasama erat antara pemain industri dan institusi TVET amat penting bagi memastikan kesesuaian antara penawaran kemahiran dan keperluan pasaran berlaku secara komprehensif.
Sejajar dengan komitmen tersebut, kerajaan memfokuskan usaha membangunkan bakat yang bersedia menghadapi kehendak industri dan evolusi teknologi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali, berkata, pendekatan TVET kini disusun semula bagi menyokong keperluan industri khususnya sektor yang menawarkan peluang pekerjaan berkualiti dan pulangan pendapatan yang lebih tinggi.
Katanya, pelaksanaan TVET bukan sekadar bertujuan melahirkan graduan berkemahiran teknikal, sebaliknya memberi penekanan kepada kebolehpasaran, keupayaan bekerja secara menyeluruh serta memastikan graduan mempunyai daya tahan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar serta mengurangkan risiko pengangguran.
“Bagi meningkatkan produktiviti, tenaga kerja berkemahiran yang TVET lahirkan perlu memiliki kefahaman menyeluruh terhadap persekitaran kerja sebenar dan rantaian nilai industri, bukan hanya mahir dalam satu bidang tertentu.
“Sebagai contoh, pembangunan sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) memerlukan tenaga kerja yang memahami ekosistem secara menyeluruh termasuk sistem elektronik, automasi, pengurusan bateri, robotik serta aspek kitar semula, selari dengan keperluan industri moden.
“Di samping itu, tenaga kerja berkemahiran juga mesti bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pantas serta memiliki elemen inovasi dan kreativiti bagi memastikan kelangsungan kerjaya dalam sektor bernilai tinggi,” katanya.

“Melalui penerapan inovasi dan kreativiti ini, nilai tambah kepada sektor berkenaan dapat dipertingkatkan. Pendekatan sedemikian memastikan pembangunan tenaga kerja tidak sekadar bersifat retorik atau penggunaan istilah teknikal semata-mata, sebaliknya memberi impak sebenar kepada produktiviti dan daya saing industri,” katanya.
“Melalui penerapan inovasi dan kreativiti ini, nilai tambah kepada sektor berkenaan dapat dipertingkatkan. Pendekatan sedemikian memastikan pembangunan tenaga kerja tidak sekadar bersifat retorik atau penggunaan istilah teknikal semata-mata, sebaliknya memberi impak sebenar kepada produktiviti dan daya saing industri,” katanya.
Kamaruzaman menegaskan bahawa pelaksanaan program bersepadu bersama persijilan profesional merupakan antara pendekatan strategik untuk meningkatkan nilai kebolehkerjaan graduan, khususnya dalam kalangan tenaga kerja berkemahiran.
Menurut beliau, pemilikan pensijilan tambahan yang relevan dengan industri mampu memberikan pulangan pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding sijil asas semata-mata.
“Sebagai contoh, seorang juru kimpal yang memiliki sijil juru kimpalan bawah air berpotensi memperoleh gaji sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan, berbanding kira-kira RM2,000 bagi juru kimpal yang hanya mempunyai sijil asas.
“Situasi sama berlaku dalam bidang elektrik, apabila juru elektrik yang dilengkapi pensijilan untuk sistem pengecasan atau pensijilan Suruhanjaya Tenaga (ST), khususnya daripada pengeluar atau penyedia latihan yang diiktiraf industri, mempunyai nilai pasaran yang jauh lebih tinggi.
“Pendekatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan pendapatan graduan, malah membantu industri mendapatkan tenaga kerja yang lebih kompeten, bersedia dan selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja semasa,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kolaborasi awal antara institusi TVET dan industri amat penting bagi membina kepercayaan serta keyakinan bersama sejak peringkat awal latihan, sekali gus memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Seiring dengan pendekatan tersebut, beliau berkata maklum balas industri terhadap bakat keluaran TVET setakat ini secara umumnya adalah positif, khususnya dari perspektif majikan yang melihat graduan TVET semakin bersedia dan berdaya saing.
“Macam dalam rumah tangga, apabila wujud kepercayaan, secara tidak langsung nilai hubungan itu juga meningkat.
“Biasanya, maklum balas dari industri menunjukkan graduan TVET ini sebenarnya sangat kompetitif. Hakikatnya, mereka mampu bersaing,” katanya.
Namun begitu, beliau mengakui masih wujud persepsi negatif terhadap graduan TVET yang dibina berasaskan stigma tertentu.
Beliau berkata, stigma tersebut sering digunakan sebagai alasan untuk mengutamakan pengambilan pekerja asing sedangkan realitinya graduan TVET tempatan memenuhi keperluan industri.
“Stigma negatif bahawa graduan TVET kurang berkemahiran adalah tidak tepat. Saya cakap jujur, ia lebih kepada hate and say dan stigma.
“Ada segelintir pihak dalam industri yang sebenarnya bukan tidak percaya kepada graduan TVET, tetapi memang tidak berniat mengambil graduan tempatan.
“Mereka mencipta naratif bahawa graduan TVET Malaysia ini malas atau ada masalah disiplin. Kita tidak nafikan, mungkin ada segelintir kes, tetapi peratusan itu kecil sahaja.
“Hakikatnya, graduan TVET sangat kompetitif dan trend mereka memang selari dengan keperluan industri. Isu mismatch (tidak padan) pekerjaan pula sebenarnya tidak berlaku,” katanya.
Pada masa sama, Kamaruzaman menegaskan bahawa TVET bukan bertujuan menyaingi universiti, sebaliknya berperanan sebagai pelengkap dalam ekosistem pendidikan tinggi.
“Universiti menghasilkan jurutera yang mereka bentuk dan merancang projek berskala besar, manakala TVET melatih tenaga pelaksana mahir yang memastikan produktiviti dan kualiti industri meningkat.
“Dengan pendekatan ini, graduan TVET Malaysia bukan sahaja boleh bersaing secara global, tetapi juga berpotensi menjadi pencetus perubahan dalam revolusi industri negara, menjadikan mereka aset penting dalam pelaksanaan NIMP 2030,” katanya.

