Tahun 2026 dibuka dengan drama penculikan Presiden Maduro dan isteri di Venezuela. Mereka ditangkap dan diterbangkan dari ibu kota Venezuela, Caracas ke New York untuk dibicarakan. Dunia gempar. Warga Amerika Latin jadi gelisah.

Minggu akhir 2025 nilai mata wang Iran, Riyal jatuh mendadak. Para Bazari – peniaga kecil – di Tehran keluar ke jalan raya tunjuk perasaan. Para Bazari ini pada tahun 1979 memainkan peranan yang penting untuk berdemo bagi menjatuhkan Shah Ahmad Reza Pahlavi.

Masuk tahun baru 2026, tunjuk perasaan di Iran telah merebak dari Tehran ke kota seperti Mashhad, Shiraz, Isfahan dan Tabriz.

Pada hujung minggu pertama 2026, tunjuk perasaan bertambah ganas. Ramai polis dan penunjuk perasaan mati terbunuh. Masjid, hospital dan balai polis dibakar.

Penunjuk perasaan dilaporkan membawa senjata dan menembak mati polis untuk menimbulkan suasana huru-hara.

Di Amerika – di tepi pintu pesawat Air Force One – Presiden Trump memberi amaran bahawa jika kematian penunjuk perasaan bertambah, Amerika akan memberi bantuan kepada penunjuk perasaan di Iran.

Beberapa hari kemudian, di pintu pesawat yang sama, Trump berkata Amerika akan mengambil alih pulau Greenland dari Denmark. Ini untuk keselamatan Amerika dan dunia.

Venezuela, Iran dan Greenland menjadi bualan dunia untuk minggu pertama 2026. Semuanya berpunca daripada Donald J Trump.

Justeru, jangan hairan jika terbaca tulisan sejarawan tersohor dari UK, Tom Holland yang menyamakan Trump dengan Maharaja Rom ketiga, Caligula. Caligula dikenang dengan sifat megalomania – gila kuasa dan sadis. Maharaja Rom ini berkuasa dari 37 AD sehingga pembunuhannya pada 41 AD.

Ciri-ciri dan watak Caligula ini, menurut Tom Holland, kelihatan jelas wujud dalam perangai dan watak Donald J Trump, Presiden Amerika ke-47.

Daripada pemerhatian sejarah, apa yang sedang dilakukan oleh Trump adalah ciri, watak dan pola hari-hari akhir sebuah empayar. Ia pernah berlaku kepada empayar Rom, empayar Napoleon, empayar Hitler dan empayar Tojo di Jepun.

Apa yang akan terbongkar jika berita tentang Venezuela, Denmark dan Iran ini diteliti? Apa latar hingga munculnya babak-babak ini? Apa cerita di belakang tabir?

Bagi saya, semua ini adalah manifestasi kuasa empayar bernama Amerika. Kita wajib menerima hakikat bahawa pada ketika ini, dunia masih berada di bawah takluk kuasa hegemon Pax Americana.

Kuasa hegemon Pax Americana muncul selepas Perang Dunia Kedua, selepas kuasa kolonial Pax Britannica runtuh.

Pasca perang dan pasca zaman meleset Great Depression 1929–1939, ekonomi kapitalis Amerika bangun, mengembang dan merebak ke seluruh dunia. Amerika menjadi negara terunggul dunia. Untuk menjaga dan mengawal kepentingan ekonomi ini, Amerika telah mendirikan 750 pangkalan tentera di 80 negara.

Kekuatan ketenteraan ini dipasak pula oleh mata wang Amerika yang dipanggil Dolar. Dolar menjadi nilai tukaran mata wang bagi perniagaan dunia kapitalis.

Kekuasaan Dolar Amerika wujud apabila dunia dipaksa menggunakan Dolar untuk jual beli bahan bakar petroleum. Pemaksaan ini berlaku melalui Perjanjian Petrodollar.

Perjanjian Petrodollar dibuat pada tahun 1974 antara Amerika dan Arab Saudi. Arab Saudi sebagai pengeluar minyak utama dunia wajib menjalankan jual beli petroleum menggunakan Dolar. Duit hasil jual beli minyak ini dipanggil “petrodollar”. 

Keuntungan petrodollar wajib dilaburkan semula dalam bon Perbendaharaan Amerika. Sebagai balasan, Amerika memberikan sokongan ketenteraan bagi menjaga keselamatan rejim Saudi.

Perjanjian Petrodollar ini telah tamat pada 9 Jun 2025 dan tidak diperbaharui lagi.

Implikasi penamatan perjanjian ini sangat besar kerana selama ini seluruh sistem ekonomi kapitalis dunia – termasuk Rusia, China, Iran, Cuba dan Korea Utara – menggunakan Dolar sebagai rujukan.

China dan Rusia yang dianggap seteru kuat Amerika masih menggunakan Dolar dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Dengan berakhirnya perjanjian ini, jual beli minyak dan bahan lain kini bebas menggunakan mata wang selain Dolar. India membeli minyak dari Rusia menggunakan Ruble. Iran menjual minyak kepada China menggunakan Yuan.

Jelas bahawa hegemoni Dolar mula mengendur.

Pada masa sama, untuk terus menjadi kuasa hegemon dunia, Amerika memerlukan dana dan modal. Cara termudah ialah meminjam dan berhutang.

Bayangkan Amerika seperti seorang ayah yang bergaji RM5,000 sebulan untuk isteri dan dua anak, tetapi perbelanjaan bulanannya melebihi gaji. Maka setiap bulan dia terpaksa meminjam wang daripada bank, kenalan, along atau kad kredit.

Akhirnya hutang bertambah dan bertimbun. Bank dan syarikat kad kredit akan saman dan si ayah akan diisytihar muflis.

Amerika berada dalam keadaan yang sama. Perbelanjaan negara melebihi pendapatan, menjadikannya negara penghutang terbesar dunia.

Sehingga 7 Januari 2026, jumlah hutang kasar Amerika ialah ASD38.43 trilion. Hutang awam ASD30.81 trilion, manakala hutang intra-kerajaan ASD7.62 trilion.

Kerajaan Amerika meminjam daripada Federal Reserve, dana pencen dan syarikat insurans. Jepun dan China pula menjadi pelabur utama melalui pembelian Sekuriti Perbendaharaan Amerika.

Jepun memegang sekitar ASD1.06–1.2 trilion, manakala China sekitar ASD750–850 bilion.

Akhirnya Amerika akan menjadi seperti si ayah tadi, namun untuk mengisytiharkan sebuah empayar sebagai muflis bukanlah perkara mudah. Amerika ialah pemegang kunci sistem ekonomi kapitalis dunia. Apa yang berlaku kepadanya pasti menggoncang seluruh sistem global.

Kini Ruble, Yuan dan Euro mula mencabar peranan Dolar. Sekatan ekonomi ke atas Cuba, Rusia dan Iran mempercepatkan usaha menggantikan Dolar.

Apa yang berlaku di Venezuela, Iran dan Greenland berkait rapat dengan nasib Dolar.

Dolar semakin diasak. China mula menjual sekuriti Amerika. Harga emas dan perak melonjak. Di Malaysia, Ringgit semakin kukuh berbanding Dolar.

Jika bank pusat dunia hilang keyakinan terhadap Dolar, mereka akan beralih kepada Euro, Yuan atau Ruble demi melindungi ekonomi masing-masing.

Ekonomi kapitalis berasaskan sistem Fiat Money. Wang fiat ialah mata wang kerajaan yang tidak disokong emas atau perak, tetapi bergantung kepada keyakinan rakyat dan undang-undang.

Jika keyakinan ini runtuh, sistem akan terlerai – seperti kisah Duit Pisang zaman Jepun.

Ini sedang berlaku di Zimbabwe, Argentina dan Iran. Adakah ia akan berlaku kepada Dolar?

Presiden Trump sedar sepenuhnya. Venezuela, Iran dan Greenland ialah sebahagian jawapannya untuk mempertahankan hegemoni Dolar.

Ingat ucapannya pada 20 Januari 2025: “Sebagai ketua komander, saya tidak mempunyai tanggungjawab yang lebih tinggi daripada mempertahankan negara kita daripada ancaman dan pencerobohan.”

Adakah dia akan berjaya menyelamatkan Dolar? Sila tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.