Chua letak jawatan menteri dan parti
Naib Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek yang telah mengaku sebagai individu dalam satu video seks, telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatannya dalam parti itu, berkuatkuasa serta merta.
Beliau turut meletakkan jawatanya sebagai ahli Parlimen Labis. Beliau juga merupakan pengerusi MCA Johor serta ketua MCA bahagian Batu Pahat.
Naib Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek yang telah mengaku sebagai individu dalam satu video seks, telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatannya dalam parti itu, berkuatkuasa serta merta.
Beliau turut meletakkan jawatanya sebagai ahli Parlimen Labis. Beliau juga merupakan pengerusi MCA Johor serta ketua MCA bahagian Batu Pahat.
Chua, yang genap 61 tahun hari ini, membuat pengumuman tersebut di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting mengenai keputusannya itu.
Chua dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam kabinet Abdullah selepas pilihanraya umum 2004.
Semalam, Chua mengaku bahawa beliau adalah individu dalam video yang menunjukkan seorang lelaki sedang melakukan hubungan seks dengan seorang wanita dalam bilik sebuah hotel.
Chua juga memberitahu semalam bahawa beliau akan meneruskan tugasnya dalam kerajaan dan parti.
Bagaimanapun, dalam sidang akhbar hari ini, Chua berkata beliau membuat keputusan tersebut kerana "rakyat mahu saya meletakkan jawatan".
Katanya, beliau kecewa kerana ada orang yang 'bersikap seolah-olah mereka lebih bermoral dari orang lain'.
“Saya fikir apabila saya mengakui pembabitan saya itu, orang akan memaafkan saya. Tetapi saya silap," katanya.
“Saya bukanlah yang pertama dan saya bukanlah (ahli politik) yang terakhir (dirakamkan dalam keadaan sedemikian)," kata Chua yang sudah beristeri dan mempunyai tiga orang anak, dalam dalam sidang akhbar tersebut.
"Terpulanglah kepada rakyat untuk menghakimi saya," tambahnya.
Chua berkata, keluarganya menyokong keputusannya dan mengakui bahawa skandal tersebut telah mengakibatkan apa yang telah berlaku kepadanya sekarang.
Bagaimanapun, beliau yakin anggota keluarganya akan memberi sokongan.
Dirakam dua tahun lalu
Video tersebut dipercayai dirakam melalui kamera litar tertutup dua tahun yang lalu.
Chua telah menemui Abdullah Isnin lalu untuk membincangkan perkara tersebut dan ianya diputuskan supaya Chua mengumumkan identitinya itu.
Abdullah dijangka mengumumkan pilihanraya umum tahun ini walaupun tempoh pentadbirannya berakhir sehingga Mei 2009.
Skandal seks membabitkan ahli politik bukanlah sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia di mana beberapa anggota dari Umno juga pernah terpaksa meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang sama.
"Jika anda mahu membincangkan kehidupan peribadi saya, terpulanglah," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar tersebut, sambil menambah: "Mungkin anda mahu video tersebut bersama saya".Berita asal

