KOLUM | Terus terang aku cakap, sepanjang Disember ini aku jadi malas untuk menulis tentang isu pemain warisan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Bukan sebab tak ada bahan, tetapi sebab bahan terlalu banyak. 

Sampai ke satu tahap, aku sendiri keliru. 

Setiap kali muncul berita baru, aku tidak pasti sama ada aku perlu marah atau ketawa. Perkembangan demi perkembangan kes itu seolah-olah mencabar tahap intelektual manusia yang masih mahu berfikir secara waras.

Itulah masalahnya. Apabila sebuah isu yang serius mula terasa kelakar, ia merupakan petanda bahawa kerosakan sudah terlalu teruk, tak boleh nak dibaiki!

Lebih merimaskan, isu tersebut datang pada saat aku sepatutnya boleh menulis tentang sukan dari pelbagai sudut lain – sejarah, sains, perubatan, nutrisi, taktikal permainan, falsafah dan banyak lagi. 

Semua itu lebih membina dan bermanfaat kepada sukan. 

Kes yang melingkari kita sekarang – dengan segala dramanya juga – semacam merampas emosi dan tumpuan, memaksa aku kembali menulis tentang perkara yang sama berulang-ulang.

Jadi kali ini aku mahu menumpukan tentang bagaimana FAM bertindak menggali lubang kuburnya sendiri sedangkan ia tahu telah melakukan kesalahan. 

Tak boleh lagi ditutup

Bagaimana ia memilih untuk bersungguh-sungguh mempertahankan kesilapan, seolah-olah mengaku salah adalah sesuatu yang lebih memalukan daripada akibat daripada kesalahan itu sendiri.

Dalam keputusan bertulis Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang dikeluarkan pada Oktober lalu, kesalahan dan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain dinyatakan secara minimum. 

Bahasa yang digunakan masih teknikal dan terkawal. Keseluruhan salah laku tidak ‘dibedah’ secara terperinci.

Pada titik tersebut, FAM sebenarnya mempunyai ruang untuk menerima hakikat, mengaku kesilapan dan membaiki reputasi. Kesalahan sudah direkodkan, tetapi aib belum dibuka sepenuhnya. 

Namun FAM – mungkin dengan pengaruh pihak tertentu – telah memilih untuk mengemukakan rayuan. Lebih kelakar, rayuan itu diakui bukan untuk menafikan pemalsuan dokumen, tetapi sekadar mahu mengalihkan liabiliti kepada pihak lain.

Jadi apa kesannya? 

Keputusan bertulis Jawatankuasa Rayuan Fifa yang dikeluarkan pada November telah menelanjangkan segala-galanya. 

Rayuan itu memaksa badan induk bola sepak dunia tersebut menjawab hujah satu demi satu, menyusun semula semua dokumen dan membedah keseluruhan kes dengan lebih terperinci. 

Apabila itu berlaku, perkara yang sebelum ini tersimpan tidak lagi boleh ditutup. Di situlah bermulanya pendedahan yang benar-benar mengaibkan.

Bahasa penghakiman yang digunakan jauh lebih keras berbanding keputusan pertama oleh Jawatankuasa Disiplin Fifa. 

Pertahan hujah yang rapuh

Hujah FAM ditolak secara terperinci, dengan penekanan bahawa sebagai badan induk kebangsaan, mereka sepatutnya tahu dan memahami peraturan dengan lebih baik.

Akhirnya, keseluruhan keputusan rayuan itu membina satu gambaran yang sukar dipadam: masalah sebenar bukan sekadar pemalsuan dokumen, tetapi kredibiliti pentadbiran yang menguruskannya.

Semua itu terdedah bukan kerana Fifa mahu menghukum, tetapi kerana FAM sendiri memilih untuk memalukan diri sendiri melalui rayuan. Lubang kubur itu tidak digali oleh orang lain. Ia digali sendiri.

Ironinya, selepas keputusan rayuan itu, keadaan tidak menjadi lebih tenang. Sebaliknya, krisis berkenaan menjelma dalam bentuk akibat yang nyata. Kemenangan Malaysia dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa dibatalkan.

Lebih menyakitkan, semuanya berlaku bukan kerana FAM tidak tahu apa yang sedang mereka hadapi. Keputusan rayuan itu sendiri sudah cukup jelas menggambarkan betapa rapuhnya hujah yang cuba dipertahankan. 

Dalam keadaan ini, timbul persoalan bagaimana kepimpinan FAM begitu yakin untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam satu temu bual, Pemangku Presiden FAM, Yusuf Mahadi, menjelaskan keputusan untuk membawa kes ke CAS adalah kerana mahu “melengkapkan” proses.

“Kita tak fikir soal risiko atau apa, cuma kita melunaskan proses. Itu saja,” katanya.

Ada pihak yang menyatakan bahawa satu pihak dalam Fifa ‘mengugut’ kepimpinan FAM agar kes ini tidak dibawa ke CAS.

Sedangkan manusia yang waras memahami ia sebenarnya bukanlah ‘ugutan’, sebaliknya sekadar nasihat demi mengelakkan lebih banyak tembelang terdedah di mahkamah antarabangsa selepas melihat apa yang berlaku apabila rayuan dibuat.

FAM masih bercakap tentang CAS seolah-olah ia ruang terakhir untuk menyelamatkan keadaan. Hakikatnya, mahkamah antarbangsa itu bukan pentas rundingan dan bukan juga tempat untuk mengawal naratif.

Semua orang buat silap

Sejarah berkali-kali menunjukkan bahawa mahkamah jarang menjadi tempat menutup cerita. Selalunya, ia menjadi tempat segala tembelang dibongkar satu demi satu. 

Apa yang sebelum ini boleh dikawal melalui kenyataan media akan terpaksa dijawab dengan dokumen kronologi dan fakta di mahkamah.

Kemuncaknya ialah apabila laporan siasatan dalaman FAM sendiri mengesahkan bahawa dokumen yang dipertikaikan Fifa bukan datang daripada pihak luar, tetapi disediakan dan dimuat naik oleh pentadbiran badan itu sendiri. 

Kesalahan yang sebelum ini cuba dikecilkan akhirnya diakui besar dan busuk dari dalam organisasi itu sendiri.

Namun pengakuan itu datang dengan satu kecacatan besar: tiada individu bertanggungjawab memalsukan dokumen dinamakan secara spesifik. Alasannya ialah kekangan kuasa.

Kesilapan boleh dimaafkan. Semua institusi membuat kesilapan. Tetapi kesilapan yang dipertahankan selalunya membawa kepada pembongkaran serta kesipuan.

Semasa kecil, kita dihidangkan dengan kisah Pinocchio, watak hikayat oleh Carlo Collodi yang mengajar tentang akibat tidak bersikap jujur. Setiap kali menipu, hidungnya akan memanjang. 

Kisah itu mungkin dongeng kanak-kanak, tetapi pengajarannya jelas: penipuan bukan sekadar salah dari segi moral, ia akhirnya memalukan diri sendiri apabila orang ramai tahu kita berbohong dan terus berbohong.

Dalam kes ini, FAM sebenarnya masih boleh berhenti lebih awal. Namun mereka memilih untuk terus menggali lubang kerana enggan mengaku bahawa semuanya sudah tersasar jauh.

Rasanya aku juga boleh berhenti mengulas isu ini. Memandangkan FAM sudah menggali lubang kubur sendiri dan sedang menunggu masa untuk dikambus, eloklah aku menempah batu nisan dan memacaknya di atas kubur itu nanti.


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.