‘Saya tersalah percaya orang dan hilang semua wang simpanan persaraan’
Encik Lee, 63 tahun, yang berasal dari Kuala Lumpur, telah menghabiskan lebih tiga dekad menguruskan lesen kedai dan akhirnya sedang bersiap sedia untuk bersara. Beliau percaya beberapa pelaburan yang bijak mampu mengembangkan wang simpanannya dan menjamin masa depan keluarganya.
Malangnya, beliau terjerat dalam skim penipuan. Apa yang diharapkan dapat membiayai persaraannya kini meninggalkannya dalam hutang - terperangkap dalam mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkannya.
Ini adalah kisah beliau seperti yang diceritakan kepada Malaysiakini.
Pada Mac 2025, saya terlihat satu hantaran di Facebook yang menawarkan “saham 99 Speedmart percuma”. Kali pertama melihatnya, saya abaikan. Kali kedua, saya klik.
Klik itu membawa saya ke WhatsApp, di mana seorang wanita bernama “Joanne” menghubungi saya. Sebenarnya, hantaran yang menawarkan saham percuma itu langsung tiada kaitan dengan saham 99 Speedmart. Ia hanyalah gimik untuk menarik orang yang tidak curiga untuk menekan pautan tersebut.
Terpancing dengan keuntungan besar
Joanne memasukkan saya ke dalam satu kumpulan sembang yang dipenuhi berpuluh-puluh orang yang kelihatan seperti pasukan pemasaran. Mereka meyakinkan saya untuk memuat turun aplikasi bernama XGI Horizon daripada Google Play Store. Saya diberitahu bahawa selepas mendaftar akaun, saya akan menerima bonus RM400 untuk mula melabur.
Pada mulanya, aplikasi itu menunjukkan keuntungan yang sangat besar dan nampak meyakinkan. Deposit RM1,000 akan menghasilkan pulangan beberapa ribu ringgit. Kali pertama mencuba, saya masukkan RM5,000. Pada hari yang sama, saya melihat pulangan RM6,000 dalam akaun bank saya. Dalam masa yang singkat, saya untung RM30,000 dan berjaya mengeluarkannya.
Selepas itu, saya diperkenalkan kepada satu lagi program pelaburan, juga di bawah XGI Horizon, yang diberitahu sebagai firma pengurusan aset yang berdaftar di Hong Kong. Teruja dengan prospek pulangan besar, saya mengajak adik saya untuk turut serta. Tidak lama kemudian, kami sudah mempunyai RM200,000 dalam akaun di platform tersebut.
Perangkap IPO
Saya menyertai skim di mana setiap deposit RM10,000 akan memberikan keuntungan RM100,000. Jadi, jika anda hanya mempunyai RM3,000 dalam akaun, anda perlu tambah lagi RM7,000 supaya jumlahnya mencecah RM10,000 untuk mendapat untung RM100,000. Sedikit demi sedikit, saya semakin tenggelam. Pada fasa ini, saya memasukkan wang hampir setiap beberapa hari.
Joanne terus memperkenalkan skim baru, seperti IPO untuk sebuah firma China bernama “Keong Tat” yang memerlukan pelaburan RM100,000. Adik saya menggunakan dananya sendiri, dan saya pula mengeluarkan wang dari bank untuk mencukupkan baki.
Kemudian saya terjumpa pula satu lagi IPO China yang dipanggil “Chun Fong”. Apabila jumlah dalam akaun platform mencecah RM500,000, saya memutuskan untuk mengeluarkan separuh daripadanya. Namun, saya diberitahu saya tidak boleh berbuat demikian kerana Chun Fong adalah skim bernilai RM700,000.

Joanne berkata saya perlu menambah RM200,000 lagi sebelum boleh mengeluarkan wang tersebut. Dia juga mengugut bahawa jika saya tidak memasukkan baki wang itu, ahli keluarga saya akan kehilangan akses kepada perkhidmatan dalam talian (walaupun dia tidak mempunyai maklumat peribadi mereka), dan saya mungkin berdepan masalah dengan pihak berkuasa.
Saya berjumpa dengan seorang rakan untuk meminjam RM200,000. Selepas mendengar cerita saya, dia berkata semuanya nampak seperti penipuan. Dia mendesak saya supaya meninggalkan skim itu serta-merta. Langsung tidak terlintas di fikiran saya bahawa saya sebenarnya telah ditipu.
Joanne menyekat akses saya ke akaun IPO Chun Fong selepas saya gagal memasukkan baki RM200,000 tersebut. Ini secara langsung menghalang saya daripada mendapatkan semula wang saya.
Tidak berputus asa, Joanne mendakwa dia telah meminjamkan RM60,000 bagi pihak saya, dan jika saya boleh deposit RM100,000, saya akan dapat membawa pulang RM1 juta. Penat dengan manipulasinya, saya hilang harapan untuk mendapat kembali wang saya. Saya sangka semuanya sudah berakhir dan saya telah kehilangan semua dana saya.
Peguam palsu
Ketika itulah saya melihat iklan untuk seorang peguam di Facebook. Iklannya nampak meyakinkan, dan memandangkan dia berpangkalan di Malaysia serta memperkenalkan dirinya sebagai “peguam besar” dari firma guaman terkemuka di Kuala Lumpur, saya fikir saya boleh mempercayainya.
Dia menggelar dirinya sebagai “Dennis Koh”. Dia berjanji untuk membantu saya mendapatkan semula wang saya dan berkata kami akan bertemu di pejabatnya sebaik sahaja dana itu berjaya diperolehi. Pertemuan itu tidak pernah berlaku. Firma guaman tersebut memang wujud dan sah, tetapi Dennis Koh tidak bekerja di situ. Saya baru tahu kemudian yang dia hanyalah peguam palsu.
Dennis menghubungkan saya dengan “David”, yang mendakwa dia dari kumpulan anti-rasuah dan tahu tentang situasi saya - bahawa saya telah ditipu lebih RM200,000 - dan dia boleh membantu saya. Namun menurutnya, satu-satunya cara adalah melalui kasino.
Berkomunikasi melalui Telegram, saya memberitahunya saya tidak berjudi. Dia berkata, “Tiada masalah. Saya akan beri anda AS$100. Masuk, dan saya akan berada dalam talian pada pukul 2.45 petang. Anda hanya ada masa 15 minit.” Dia menjelaskan dalam tempoh singkat itu, kebarangkalian (odds) akan berubah - daripada 1.9 kali ganda kepada 2.1 kali ganda; dan saya hanya boleh bermain tiga pusingan - satu besar, satu kecil - setiap kali.

Ia adalah platform kasino yang berpangkalan di Hong Kong, dan perjudian dilakukan melalui aplikasi. Pada mulanya, dia memberi saya US$100. Saya tidak menang apa-apa. Dia berkata jika saya boleh “kejar balik”, dia akan tambah lagi wang.
Saya memutuskan untuk melabur wang saya sendiri. Saya mempunyai kira-kira AS$10,000 dalam akaun tersebut dan apabila melihat jumlahnya semakin bertambah, saya berasa yakin. Kemudian, secara tidak sengaja, saya tertekan butang yang salah. Saya melihat pertaruhan AS$300 saya menghasilkan AS$20,000.
Saya sangka saya benar-benar telah untung AS$20,000, tetapi kemudian David berkata aplikasi itu ada “masalah”. Dia menyuruh saya tunggu seminggu sementara dia “membaikinya”. Dia juga memberi amaran bahawa masa semakin suntuk kerana mereka tidak boleh terus menggodam akaun orang lain, dan saya adalah rakan sejenayah dalam menggodam kasino tersebut.
Kira-kira lima hari kemudian, David menghubungi saya semula. Katanya, satu-satunya cara sekarang adalah untuk “menampal lubang” (menutup kekurangan dana) dengan wang. Ia menelan belanja AS$7,000. Saya bayar. Kemudian dia mendakwa ada “lubang besar” dan “lubang kecil”. Untuk lubang kecil, saya perlukan AS$7,000. Saya bayar lagi.
Saya mula berjudi semula, dan selepas itu, kira-kira RM110,000 muncul dalam akaun tersebut. Saya cuba mengeluarkan AS$100, kemudian AS$500, dan ia berjaya. Itu memberi saya keyakinan. Pada satu ketika, saya mempunyai keseluruhan kira-kira AS$400,000 dalam akaun kasino tersebut. Tetapi apabila saya cuba mengeluarkannya, saya gagal.

David memberitahu saya pihak kasino telah mendapati akaun saya telah “menggodam” akaun mereka. Satu-satunya cara, katanya, adalah dengan membayar denda. Selepas itu, saya boleh dapatkan semula wang saya. Dia juga berkeras agar saya membayar “cukai” AS$7,000 kerana, menurutnya, “Kasino di Hong Kong mesti membayar cukai.” Jadi saya bayar.
Kemudian dia berkata saya perlu menjadi ahli platform kasino untuk mengeluarkan lebih daripada AS$100,000. Saya setuju, tetapi sebelum keahlian saya dapat diaktifkan, saya secara tidak sengaja menekan butang terlalu cepat. Itu membawa kepada satu lagi denda.
Bayaran tanpa penghujung, jalan buntu
Menjelang waktu itu, saya mula berasa sangat tidak sedap hati. Mengapa saya terus perlu membayar lebih banyak cukai dan denda? Penjelasannya dalam perbualan terakhir kami membuatkan saya curiga. Namun, mesejnya jelas: saya tidak boleh dapatkan semula wang saya melainkan saya terus membayar.
Saya menghubungi Dennis, peguam palsu itu, dan dia memberitahu saya, “Jika anda buat ini, anda boleh dapatkan semula wang anda.” Apa yang dikatakannya adalah sama sebiji dengan apa yang diberitahu oleh orang XGI Horizon kepada saya.
Saya bertanya kepada Dennis mengapa penjelasannya sama perkataan demi perkataan dengan apa yang dikatakan oleh XGI. Dia tidak menjawab saya. Pada masa ini, apa yang dia katakan di telefon tidak selalunya sama dengan apa yang dia katakan sebelum ini dalam perbualan WhatsApp kami.
Beberapa orang yang tahu apa yang sedang berlaku mendesak saya untuk menyemak di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk melihat sama ada XGI Horizon Limited berdaftar sebagai syarikat pelaburan di Malaysia. Hasil carian tidak menunjukkan apa-apa, tetapi platform pelaburan bernama XGI Horizon berada dalam senarai amaran pelabur Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ditandakan atas aktiviti haram.

Walaupun saya sudah pasti ketika itu bahawa saya telah ditipu, saya enggan melepaskannya kerana saya telah melaburkan begitu banyak wang ke dalam skim tersebut. Saya masih menaruh harapan untuk mendapatkan semula dana tersebut. Saya terus berfikir, “Mungkin jika saya melabur sedikit lagi, saya boleh dapatkan semula wang saya.”
Secara keseluruhannya, saya hanya berjaya mengeluarkan jumlah yang kecil - kira-kira RM30,000 daripada skim pertama yang saya sertai dan AS$600 daripada laman kasino dalam talian. Pada satu ketika, penipu itu malah menuntut “komisen” 20 peratus sebelum melepaskan sebarang dana. Sudah tentu, tiada apa yang dikembalikan.
Sudah terlambat
Sekitar masa yang sama, saya terjumpa satu hantaran Facebook yang mempunyai logo Global Anti-Scam Organisation (GASO). Itulah caranya saya berhubung dengan Alicia daripada kumpulan tersebut. GASO ialah organisasi bukan untung yang berdaftar di Amerika Syarikat yang menyediakan sokongan kepada mangsa penipuan.
Alicia memberitahu saya dengan berterus-terang: “Mustahil, tidak ada cara untuk anda mendapatkan semula wang anda.”
Kejujurannya membantu saya menyedari satu lagi lapisan penipuan - kumpulan palsu yang menyamar sebagai organisasi “anti-penipuan” atau “anti-rasuah”, yang berjanji untuk mendapatkan semula wang mangsa. Mereka adalah penipu pemulihan wang (recovery scammers).

Pada bulan Mei, dua bulan sejak mimpi ngeri itu bermula, saya akhirnya membuat laporan polis. Antara 12 Mac dan 18 April, saya telah membuat 18 transaksi bank ke lima akaun bank syarikat yang berbeza.
Di balai polis, saya melihat mangsa lain - ada sepasang suami isteri telah kerugian lebih RM500,000. Kemudian, saya membaca bahawa beratus-ratus rakyat Malaysia telah terpedaya dengan penipuan XGI yang sama dengan kerugian mencecah jutaan ringgit. Saya sendiri kerugian lebih RM300,000.
Adik saya, yang malangnya saya perkenalkan kepada skim ini, kerugian sekitar RM150,000. Sedihnya, dia masih dalam penafian dan enggan mempercayai bahawa semuanya adalah penipuan dan kami berdua telah diperdaya.
Hari ini, saya tidak lagi mempercayai apa-apa yang saya lihat dalam talian, terutamanya jika ia melibatkan wang. Sebenarnya, tidak ada benda percuma di dunia ini. Jika saya bertindak lebih awal, mungkin saya dapat mengelakkan beberapa kerugian. Tetapi sudah terlambat untuk saya. Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah menceritakan kisah saya supaya orang lain tidak jatuh ke dalam perangkap yang sama.
Saya berumur 63 tahun, sedang bersedia untuk bersara. Saya berharap dapat menyara keluarga saya, terutamanya tiga orang cucu saya. Saya hanya mahu mempunyai dana yang mencukupi untuk membeli dua buah rumah untuk mereka, bagi menjamin masa depan mereka. Sebaliknya, saya kehilangan wang simpanan saya, malah meminjam wang untuk pelaburan palsu tersebut. Saya kini bergelut untuk membayar balik hutang tersebut.

Bukan mudah bagi saya untuk menceritakan kisah ini. Saya seorang yang mementingkan privasi. Tetapi saya berharap dengan bersuara, orang lain akan berfikir dua kali sebelum mempercayai tawaran dalam talian yang kedengaran terlalu indah untuk menjadi kenyataan. Berhati-hatilah jika anda terjumpa tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa yang sangat singkat.
*Nota editor: Nama mangsa penipuan telah diubah untuk menghormati privasinya dan bagi mengelakkan stigma terhadapnya.
Jika anda mengesyaki bahawa anda mungkin telah ditipu, hubungi talian hotline Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 untuk bantuan.

Jika anda merasa tertekan, murung atau mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri, hubungi profesional kesihatan atau hubungi talian sokongan emosi Befrienders di 03-7627 2929.
XGI Horizon Limited muncul dalam Daftar Syarikat Hong Kong. Laman web korporatnya, yang kini tidak lagi boleh diakses, menyatakan bahawa ia adalah “pengurus aset berpangkalan di Asia dengan pejabat di Hong Kong”. Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong, dalam senarai amaran bertarikh 24 Julai 2025, telah menandakan XGI Horizon sebagai “entiti tidak berlesen”, bermaksud ia tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti kewangan terkawal di Hong Kong.

Semakan Malaysiakini mendapati walaupun XGI Horizon Limited bukan perniagaan yang berdaftar di bawah SSM, tiga syarikat lain yang berdaftar di Malaysia dengan nama yang hampir sama telah ditemui dalam pangkalan data CTOS Malaysia:
XGI Horizon Empire, diperbadankan pada 31 Disember 2024, menyenaraikan aktiviti perniagaannya sebagai “perdagangan borong perkakasan pembinaan”.
XGI Horizon Construction Sdn Bhd, diperbadankan pada 19 Februari 2025, menyenaraikan aktiviti perniagaannya sebagai “perdagangan borong pelbagai barangan tanpa pengkhususan tertentu (NEC)”.
XGI Partners Group Sdn Bhd, diperbadankan pada 28 Februari 2025, menyenaraikan skop perniagaannya sebagai “perdagangan borong pelbagai barangan tanpa pengkhususan tertentu (NEC)” dan “keselamatan sistem teknologi maklumat komunikasi (ICT)”.
Semakan lanjut mendedahkan bahawa akaun bank ketiga-tiga syarikat ini telah digunakan untuk menerima dana daripada pelabur yang tidak curiga dalam skim penipuan tersebut.
Sumber rujukan
Sebelum melabur, semak kesahihan skim tersebut:
Pendaftaran Suruhanjaya Sekuriti bagi syarikat pertukaran aset digital yang sah
Senarai syarikat pelaburan dan laman web tidak sah oleh Bank Negara (Senarai ini menunjukkan entiti yang tidak dibenarkan dan ia bukanlah senarai yang lengkap)
Senarai platform dagangan elektronik yang diluluskan oleh Bank Negara
Anda juga boleh menyemak alamat laman web:
Alat untuk melihat bila laman web itu dicipta (Laman web berkaitan penipuan selalunya, tetapi tidak semestinya, baru dicipta)
Sebelum anda membuat sebarang pemindahan bank:
Semak nombor akaun bank penerima di laman web Semak Mule polis
Jika pemegang akaun adalah sebuah syarikat, cari maklumat perniagaan tersebut dalam pangkalan data SSM. Syarikat yang dikaitkan dengan akaun penipuan selalunya, tetapi tidak semestinya, baru dicipta.
Siri S.A.F.E. Internet ini adalah hasil kerjasama dengan CelcomDigi.
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

