Akhir-akhir ini pelbagai isu ditimbulkan oleh media perdana. Bukan setakat itu sahaja. Ia akan diikuti oleh pelakon-pelakon politik untuk mementaskan isu-isu tersebut dengan harapan rakyat menilainya.

Satu contoh yang terbaru ialah isu kegagalan pelajar di tiga buah sekolah dalam kawasan parlimen Tengku Razaleigh untuk membayar yuran peperiksaan PMR dan SPM. Percayakah kita seramai 600 pelajar tersebut tidak mampu menjelaskan yuran peperiksaan?

Saya sempat berjumpa dengan seorang guru dari sebuah sekolah tersebut dan bertanyakan perkara sebenar. Memang ada pelajar yang belum bayar. Bukannya tidak mampu tetapi belum lagi menjelaskan yuran tersebut. Wang sudah ada.

Cuba kita renongkan: tempoh bayaran yuran SPM berakhir akhir Februari sedangkan isu ini ditimbulkan sebelumnya. Mereka hendak mencari publisiti murah. Selepas sahaja isu ini terpapar di dada akhbar, ramai ahli politik Umno termasuk Perdana Menteri ingin membantu. Maka bermulalah drama sensasi ini dengan harapan memberitahu rakyat Kelantan siapakah yang sebenarnya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Sebenarnya inilah satu cara orang politik Umno bermain politik. Bijaknya mencari isu dan memutarbelitkannya. Saya, sebagai rakyat Kelantan yang sudah lali dengan situasi politik Umno, tidak hairan dengan gelagak mereka.