Sesuatu yang amat menakutkan dunia media massa negara ini sedang berlaku. Kebebasan akhbar kini diukur dengan bilangan atau kemudahan untuk menemuramah seseorang menteri kabinet dan bukannya berdasarkan kebebasan untuk menerbitkan isi kandungan temuramah atau rencana berkenaan.

Amat menggerunkan apabila tafsiran itu dibuat sediri oleh seorang pengamal media yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kewartawanan.

Kalau tafsiran itu keluar dari mulut seorang diktator atau pelajar tahun satu sekolah pengajian media ia boleh diampunkan tetapi apabila ia terpacul dari mulut seorang bekas ketua pengarang sebuah akhbar yang terunggul di negara ini, ia menandakan kebebasan media di negara ini berada di penghujung jalan.

Lebih-lebih lagi apabila bekas ketua pengarang itu sudah menjadi orang politik, adalah ditakuti pemikiran sempit atau penyelewengan tafsiran yang dilakukannya itu akan dijadikan dasar kerajaan.

Inilah yang berlaku sehari dua ini. Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin atau Zam mendedahkan tembelangnya yang sebenarnya. Daripada temuramah dengan stesen TV3 pada malam Ahad lalu jelas beliau seorang yang anti kebebasan akhbar.

Zam melihat kebebasan akhbar dari sudut pemikirannya yang kolot dan cetek sedangkan pada masa yang sama beliau mengaku mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini.

Senator yang merupakan penyokong kuat Perdana Menteri ini sering mewar-warkan bahawa UM (Kumpulan Utusan Melayu bukan Universiti Malaya) adalah universitinya. Tidak salah beliau berpendapat demikian kerana beliau menjejakkan kakinya ke dunia UM pada usia yang mentah - 18 tahun sebagai seorang wartawan sambilan.

Di situ beliau belajar. Di UM, Zam mengenali dunia dan kehidupan. UM jugalah yang menjadikan Zam seorang nama besar dalam negara ini. UM lah yang memberikan segala kemewahan kepadanya. Oleh itu tidak salah UM dianggap sebagai universitinya.

Tetapi pemikiran kolot yang dianuti oleh Zam itu memalukan UM kerana kumpulan Utusan hari ini telah maju selari dengan kemajuan semasa. Budaya kerja di UM telah berubah, teknologinya semakin canggih dan tahap profesionalismenya semakin tinggi. Malangnya Zam tidak berubah dan dia mahu seluruh media mengikut fahaman kolotnya itu.

Tindakan dan sikap kolot Zam ini memalukan kumpulan Utusan dan seluruh warga kerjanya terutama sekali kumpulan wartawannya.

Kata-kata Zam yang emosional dalam program itu satu kesinambungan kepada amalan-amalan negatif yang diamalkan oleh pemerintah negara ini sekarang. Nampaknya Zam juga telah dijangkiti sindrom 'memfitnah'.

Dengan menuduh laman web malaysiakini sebagai agen asing yang dibiayai oleh George Soros tanpa sebarang bukti, jelas menunjukkan Zam telah terlupa pada prinsip 5W 1H (what, who, where, why, when dan how) yang dipraktikkannya selama menjadi seorang wartawan.

Tanpa menyemak faktanya, Zam mengada-adakan cerita dan membuat tuduhan palsu apabila menuduh editor Steven Gan pernah berkerja dengan akhbar pembangkang. Mungkin Zam tersilap orang... Inikah amalan dan sikap seorang bekas ketua pengarang?

Zam sepatutnya ingat kata-kata 'once a journalist, always a journalist'. Seorang wartawan tulen akan sentiasa menjaga kredibiliti dan profesionalismenya tanpa mengira apa kedudukan dan pangkatnya.

Hanya seorang wartawan atau penulis upahan sahaja yang sanggup mengadaikan prinsip kewartawanan yang telah diamalkan selama 35 tahun.

Mungkin Zam patut kembali ke sekolah kewartawanan untuk mengilap semula idelisme dan bakatnya.