ULASAN | Voltaire, AI dan ekonomi bakat
ULASAN | “Setiap manusia adalah makhluk zamannya, dan hanya segelintir yang mampu mengatasi pemikiran zaman mereka.” — Voltaire
Setiap generasi manusia hidup dalam satu bentuk “mantera” yang meresap ke dalam pendidikan, ekonomi dan budaya mereka.
Mantera ini sering kali menjadi kerangka yang tidak dipersoalkan kerana terlalu biasa dan sebati dengan kehidupan seharian.
Kata-kata Voltaire, seorang pemikir utama era pencerahan di Perancis, mengingatkan kita bahawa kebanyakan manusia hanya mengikuti arus pemikiran zaman mereka tanpa kesedaran, dan hanya segelintir yang benar-benar berani dan sedar mampu membayangkan jalan yang berbeza.

Pada hari ini, meskipun kita sudah berada di ambang era kecerdasan buatan (AI), struktur sosial dan budaya kerja kita masih lagi terperangkap dalam bayang-bayang zaman perindustrian.
Kita masih menyanjung tinggi kelulusan akademik, jawatan tetap, kerjaya linear dan sistem kerja yang bersifat hierarki, sedangkan realitinya dunia kini sedang berubah secara radikal.
Data daripada World Economic Forum (WEF) menunjukkan menjelang tahun 2030, sebanyak 85 juta pekerjaan dijangka akan digantikan oleh teknologi automasi dan AI. Namun, pada masa yang sama, 97 juta pekerjaan baru akan diwujudkan melalui pembentukan sistem ekonomi yang lebih adaptif dan berpusatkan teknologi.
Dunia sedang bergerak ke arah apa yang saya istilahkan sebagai “ekonomi bakat”, iaitu satu era potensi manusia menjadi mata wang paling bernilai.
AI cerminan sistem kita
Bagi menyesuaikan diri dan menyertai era ini, seseorang individu memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran teknikal baru. Ia menuntut kesedaran falsafah, pemikiran sistemik dan wawasan tersendiri untuk membentuk kehidupan yang bermakna di luar kerangka lama.
Kecerdasan buatan bukan sekadar alat teknologi yang menggantikan kerja manusia, malah ia berfungsi seperti cermin yang mendedahkan kerapuhan dan struktur dalaman tamadun kita sendiri.
Keupayaan AI hari ini untuk menulis esei dengan gaya manusia, mencipta muzik, menganalisis imej kesihatan dan mendiagnos penyakit, berdagang saham dan mengendalikan perbualan empati menunjukkan pelbagai kerja yang dulunya dianggap berkemahiran tinggi kini boleh ditiru dan dilakukan oleh mesin.

Teknologi seperti ChatGPT, Midjourney, Gemini dan lain-lain telah menunjukkan bahawa banyak aspek intelektual dan ekspresif manusia kini boleh diproses dan digandakan melalui algoritma.
Namun, persoalan yang timbul bukan hanya tentang apa yang boleh dilakukan oleh mesin, tetapi apakah yang sebenarnya menjadikan kita manusia?
Ini bukan lagi persoalan teknikal, tetapi persoalan falsafah, moral dan ekonomi yang lebih dalam. Sekiranya mesin mampu meniru hasil kerja kita, maka nilai sebenar manusia tidak boleh lagi diletakkan pada output semata-mata, tetapi pada kesedaran, niat, cara kita mencipta, berfikir, merasai dan memberi makna kepada dunia.
Ciri-ciri seperti empati, imaginasi, kreativiti, refleksi moral dan intuisi, semuanya masih eksklusif milik manusia.
Pekerjaan mati, bakat lahir
AI tidak menghapuskan nilai manusia, sebaliknya ia memaksa kita mendefinisi semula nilai tersebut, daripada kecekapan kepada keaslian, daripada tugas kepada tujuan, daripada pengulangan kepada makna dan misi peribadi.
Konsep “pekerjaan” seperti yang kita kenali hari ini, iaitu peranan tetap dalam organisasi stabil, merupakan ciptaan zaman industri untuk memenuhi keperluan kilang, pejabat dan organisasi berskala besar.
Namun, struktur pekerjaan ini dibina atas andaian bahawa dunia akan kekal stabil dan dapat diramal, suatu anggapan yang kini semakin tidak relevan.

Dalam dunia AI, perubahan pasaran berlaku terlalu pantas, kemahiran menjadi lapuk dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan nilai ekonomi semakin banyak dicipta secara digital dan teragih melalui pelantar serta komuniti yang pelbagai.
Kajian oleh LinkedIn menunjukkan jangka hayat purata kemahiran kini hanya dua hingga tiga tahun.
Dalam dunia seperti ini, identiti kerja tidak lagi ditentukan oleh syarikat atau jawatan, tetapi oleh impak dan nilai sumbangan seseorang. Maka, yang menggantikan “pekerjaan” bukanlah kekosongan, tetapi satu ruang dinamik yang dipenuhi peluang baru yang pelbagai.
Ekonomi bakat sistem baru yang berpusatkan keunikan, kebolehsuaian dan minat manusia untuk menyumbang secara aktif.
Ia tidak lagi bertanya “pekerjaan apa yang anda layak”, tetapi “apa keupayaan unik anda dan bagaimana ia boleh menyelesaikan masalah dunia.”
Dalam dunia ini, seseorang itu bukan lagi sekadar pencari kerja, tetapi seorang usahawan bakat yang membina kerjayanya sendiri berdasarkan potensi diri terbaiknya selaraskan dengan semangat ahsanu taqwim (aebaik-baik kejadian).
Penjara pemikiran zaman
Kata-kata Voltaire tidak harus dibaca sekadar sebagai renungan sejarah, tetapi sebagai cabaran masa kini.
Menjadi makhluk zaman ini bukannya untuk terperangkap dalam sistem yang sudah tidak relevan dengan realiti semasa.
Walaupun teknologi bergerak ke hadapan dengan laju, sistem pendidikan dan sosial kita masih ketinggalan.
Pelajar masih dilatih untuk menghadapi peperiksaan dan bukannya cabaran dunia sebenar, sistem ganjaran masih memuja kepatuhan berbanding kreativiti dan masyarakat masih menilai manusia berdasarkan sijil, bukan keutuhan watak atau keaslian bakat sebenar.

Untuk melangkaui zaman ini, kita memerlukan keberanian untuk membina kerangka pemikiran baru, bukan sekadar mencipta teknologi baru.
Ini menuntut imaginasi yang mendalam, suatu kualiti yang semakin terhakis dalam sistem semasa, dan juga memiliki teropong masa hadapan, iaitu keupayaan untuk melihat dan mempersiapkan masa hadapan dengan niat dan nilai yang berpasak kepada kearifan watan.
Ekonomi bakat bukan sekadar tren dalam pasaran buruh, ia adalah satu anjakan tamadun yang akan dipimpin oleh mereka yang berani membebaskan diri dari kerangka lama dan mencipta cara berfikir, bekerja dan hidup yang lebih manusiawi.
Masa depan berpusatkan manusia
Sekiranya AI berfungsi sebagai pengganda keupayaan teknikal, maka ekonomi bakat adalah penjajaran semula sistem nilai manusia.
Ia mengajak kita untuk membina sistem yang lebih sesuai dengan realiti dan keperluan manusia hari ini.
Dalam sistem ini, pendidikan tidak lagi dilihat sebagai proses linear semata-mata, tetapi sebagai perjalanan sepanjang hayat yang diperibadikan dan berasaskan impian, minat dan impak.
Kerja tidak lagi sekadar tentang gaji atau jawatan, tetapi sebagai ruang ekspresi makna diri, identiti dan sumbangan kepada masyarakat.

Kejayaan pula tidak lagi dinilai melalui pangkat, tetapi melalui impak, integriti dan ketulenan individu.
Untuk berjaya dalam ekonomi bakat bermakna kita mesti benar-benar menghayati cabaran Voltaire, melihat dengan jujur batasan pemikiran zaman kita dan memilih untuk membinanya semula secara aktif dan berprinsip.
Dunia akan terus berubah akibat kecerdasan buatan, automasi dan globalisasi.
Menangkan setiap orang
Namun, satu perkara yang tidak akan pernah dapat ditiru oleh mesin ialah keupayaan manusia untuk mencipta makna kehidupan.
Tugas itu, tugas membina dunia yang lebih adil, lebih bermakna dan lebih berperikemanusiaan, hanya boleh dilakukan oleh manusia yang sedar dan bersedia.
Soalan penting bukan lagi, “apa yang akan dilakukan oleh AI?”
Tetapi “apa yang akan kita lakukan, sebagai manusia, dengan masa, kebebasan dan kecerdasan yang dibuka oleh teknologi ini?”
Kita mempunyai pilihan, untuk terus menjadi mangsa kepada sistem lama, atau untuk bangkit, membina naratif baru dan memimpin masa depan dengan sepenuh nilai kemanusiaan yang kita miliki.
AHMAD NAIM JAAFAR perunding utama di Foresight Consulting LLP, firma penyelidikan dan strategi masa hadapan yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Beliau juga pengasas kepada OpenTalent, sebuah pelantar ekosistem bakat berteraskan AI yang membina masa depan ekonomi bakat. Beliau merupakan penulis buku Revolusi Bakat: Seni melihat potensi berbilang dimensi manusia dalam era inovasi dan kecerdasan buatan.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semstinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

