Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mendapat perkenan dari Istana Negara terlebih dahulu sebelum menghantar memorandum mengenai tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 November lalu.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, pihak istana memberi perkenan kira-kira seminggu sebelum tarikh penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dibuat.

Mahfuz berkata, perkenan tersebut dinyatakan kepada Sektretariat Bersih.

PAS merupakan antara anggota gabungan Bersih yang menuntut pilihanraya yang adil dan bersih diadakan di negara ini. Bersih turut dianggotai oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Pada 10 November lalu, Bersih mengadakan perhimpunan di perkarangan Istana Negara yang disertai oleh kira-kira 40,000 orang sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam sidang media tersebut, Mahfuz juga mengulas mengenai kenyataan pihak Istana Negara yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong tidak merestui perhimpunan Bersih itu.

"Saya tidak tahu sama ada kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau pegawainya.

Perhimpunan Bersih

"Sepatutnya kenyataan itu perlu dikeluarkan sebelum perhimpunan Bersih diadakan supaya selari dengan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin," katanya.

Mahfuz berkata, mereka boleh mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan untuk mengadakan perhimpunan di perkarangan Istana Negara dan bukannya seminggu selepas kejadian itu berlaku.

Apapun, katanya, yang penting Yang di-Pertuan Agong setuju untuk menerima memorandum daripada pihak Bersih.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara tidak pernah memperkenan atau memberikan apa-apa sokongan secara lansung atau tidak langsung terhadap perhimpunan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lalu, baginda melahirkan rasa kesal dengan dakwaan kononnya baginda dan Istana Negara memperkenan dan menyokong perhimpunan haram tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, Seri Paduka juga melahirkan rasa kesal dengan perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Bersih yang disokong parti-parti pembangkang.

Semalam PAS berkata parti itu tidak pernah mendakwa Yang di-Pertuan Agung terbabit dalam perhimpunan aman Bersih atau Tuanku bersetuju di atas kandungan memorandum yang diserahkan oleh Bersih.

Bertemu pegawai istana

Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir menjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar Isnin lalu bermaksud Bersih terlebih dahulu menerima perkenan dari Baginda untuk menyerahkan memorandum rakyat jelata itu ke Istana Negara pada hari Sabtu berkenaan.

"Bersih berlapang dada atas apa sahaja tindakan yang bakal Tuanku ambil terhadap memorandum tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

"PAS tidak pernah sekali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa pihak istana, khasnya Seri Paduka terlibat dalam apa bentuk sekalipun, dalam menjayakan perhimpunan Aman Bersih pada 10 November 2007," katanya dalam satu kenyataan media..

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Syed Azman Ahmad Nawawi ketika dihubungi mengesahkan pihak Istana Negara telah memberi persetujuan untuk menerima memorandum dari pihak Bersih.

Katanya, persetujuan tersebut dinyatakan oleh pegawai Istana dalam pertemuan antara wakil Bersih dengan pegawai Istana Negara sebelum itu.

Dalam pertemuan tersebut, kata Syed Azman, pegawai Istana Negara meminta Bersih menyenaraikan 10 nama yang mewakili badan itu untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Petuan Agong.