WYSIWYG ialah singkatan istilah dunia siber untuk "What you see is what you get" (Apa yang dilihatlah diterima). Balai Polis Guar Cempedak menjadi liputan berita kerana kes serangan yang menyebabkan dua orang anggota polis cedera.

Apa kaitannya dengan WYSIWYG? Berita TV dan akhbar mempamerkan barang-barang kes yang digunakan seperti pemotong dawai atau wayar dan besi penyungkil. Anda juga dipersembahkan dengan rupa pagar yang dipotong sehingga kelihatan terpelohong besarnya.

Secara logik biasa, lubang itu akan anda kaitkan dengan alat yang dipamerkan oleh pihak polis iaitu pemotong dawai seperti gunting besar yang kelihatan masih baru dan bersinar-sinar. Kecederaan mangsa akan anda kaitkan dengan besi penyungkil, atau besi dajai mengikut loghat utara, kerana ia bermata satu. Semuanya kelihatan kemas dan ada penjelasan bagi tiap-tiap kejadian yang berlaku. Cuma yang menjadi misteri (dan seolah diajak kita sama-sama memusatkan persoalan kepadanya) ialah motif serangan tersebut.

Langkah Ketua Polis Negara memintas sebarang kenyataan dari ahli politik patut dipuji dan tertonjol sifat profesionalnya, tetapi selain daripada kita memusatkan soal motifnya apa kata kalau kita lihat kes ini dari sudut lain yang boleh kita simpulkan sebagai "What you see is what you don't get".

Kita boleh saja persoalkan bila dan ketika mana lubang sebesar itu wujud. Kita boleh merasa syak wasangka melihatkan betapa alat pemotong kelihatan seperti baru keluar dari kedai. Malah kita boleh mengesyaki bahawa barang-barang itu kemungkinan tiada kaitan dengan serangan itu dan tidak digunakan langsung dalam kes itu. Kemungkinan juga pagar tersebut memang telah lama berlubang.

Jika anda dilantik sebagai penyiasat apakah anda akan hanya menumpukan siasatan kepada orang yang menyerang sahaja atau kedua-duanya sekali? Untuk menjadikan "rompak senjata api" sebagai motif nampak terlalu amatur kerana di negeri Kedah, para samseng tidak perlu menyerang balai polis untuk mendapatkan senjata memandangkan kerja menyeludup senjata dari seberang sempadan risikonya tidak sehebat menyerang balai.

Jadi tentu anda boleh memfokuskan siasatan anda kepada hubungkait serangan itu dengan operasi harian para anggota yang terbabit. Apakah mereka punyai musuh, atau pernahkan mereka bergaduh dengan sesiapa, mungkin berhutang dan sebagainya?

Oleh kerana terdapat kes di mana para penguatkuasa majlis perbandaran pernah menggunakan kekerasan, ada baiknya kita merasa waham dalam siasatan kita dan selidikki pula biodata pihak yang kena serang.

Sebagai penyiasat anda tidak boleh mengambil mudah hal-hal seperti ini. Jangan mudah terpedaya dengan mainan media. Setiap 'exhibit' berkaitan kes tersebut masih boleh dipersoal selagi ia tidak dibawa ke mahkamah dalam perbicaraan.

Sebagai rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang dan perlembagaan, anda jangan sekali-kali mudah terpedaya dengan apa yang disogokkan oleh pihak media. Jadilah rakyat Malaysia yang berkualiti di alaf baru dan hadapilah setiap maklumat yang disajikan dengan minda yang sentiasa kritikal kerana tidak selalunya WYSIWYG!