Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata isu keris terus menjadi polemik yang masih belum reda sehingga hari ini kerana masih ada warganegara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri.

"Tiba-tiba sahaja pada tahun 2006, keris menjadi polemik yang masih belum dapat reda sehingga hari ini. Pada mereka mengapakah keris mesti dikucup?
Kenapakah keris mesti dipegang dan matanya dijulang ke langit? Keris dikatakan lambang pergaduhan.

"Rupa-rupanya setelah 50 tahun kemerdekaan tanah air masih ada warga negara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri," katanya ketika menyampai ucapan dasar di perhimpunan Pemuda Umno di PWTC hari ini.

Sebenarnya, kata beliau, keris adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.

"Keris amat unik sama ada dalam cara membuatnya atau cara disepuh, disarung, dipakai, diguna dan dipantang larangkan. Keris bukan seperti kapak yang boleh digunakan untuk menebang bukan juga seperti parang untuk menyembelih.

"Keris bukan senjata gunaan seharian untuk ke sawah ladang tetapi untuk ke istana atau ke majlis rasmi. Keris juga lambang kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong," katanya.

Menurut Hishammuddin lagi, keris ditempa dari cantuman besi yang berasal dari sebelas bilah keris negeri-negeri di Tanah Melayu.

"Jelas keris bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga adalah simbol kesatuan. Masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui bahawa keris juga merupakan lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu," katanya.

Pemakai keris

Orang yang memakai keris itu, katanya, orang yang ada hikmah, bijaksana dan berpengetahuan dalam ilmu, bukan hanya ilmu pendekar dan persilatan sahaja.

"Kita mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.

"Keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan amanah yang diterima.

"Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum-kaum lain yang bernaung di negara ini," katanya.

Hishammuddin menegaskan bahawa keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya.

"Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu.

"Oleh itu, tegasnya, jangan dicipta musuh yang tiada dan jangan takut akan bayang-bayang.

"Janganlah dikhuatiri sebuah perlambangan. Janganlah terbawa-bawa dengan semangat perkauman melulu sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama dengan pengorbanan Melayu. Saya ingin menyatakan untuk kali terakhir bahawa Pemuda tidak akan melayan lagi polemik melulu ini," katanya.

Keris Panca Warisan

Hishammuddin juga menjelaskan bahawa tekad yang dibawa Keris Panca Warisan dan semangat panji Sang Saka Bangsa adalah cerminan perjuangan selaras dengan slogam Umno - Bersatu, Bersetia, berkhidmat.

"Semangat ini juga termaktub di dalam Perlembagaan parti yang menuntut kita agar memperkukuh komitmen untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

"Sebagai anggota sayap kanan parti, kita dalam Pergerakan Pemuda diberikan amanah bagi memastikan bahawa asas-asas dan tujuan penubuhan Umno ini dipertahankan sampai ke titisan darah yang terakhir," katanya.

Menurutnya, walaupun pergerakan dituntut mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, tetapi Perkara 3 Perlembangaan Umno juga sentiasa "memperingatkan kita untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu".

"Pemuda Umno sedar bahawa tidak mudah untuk mentadbir sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia tetapi kita telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa secara berkesan.

"Kita juga sedar bahawa jalan ke arah mencapai kesempurnaan dalam soal hubungan kaum sememangnya penuh berliku. Masih banyak usaha yang perlu ditangani sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya, politik, agama mahupun bahasa. Namun kita tidak pernah putus asa untuk membentuk rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu," katanya.

Justeru, katanya, usahlah diungkit perkara-perkara yang telah sama-sama dipersetujui di mana teras kekuatannya telah lama teruji.

"Orang Melayu tidak pernah mengungkit apa yang bukan hak mereka sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan kepada semua.

"Kita tunduk memberi hormat; Kita mengangguk mengiakan; Kita berkalis menolak sengketa; Diam jangan disangka tunduk; Mengalah jangan disangka lemah," katanya.