Umno harus proaktif tangani blogger
Kepimpinan Umno harus menggunakan kebijaksanaan dan bertindak proaktif dalam berdepan dengan kelahiran masyarakat berfikir yang akan bertanya tentang banyak perkara yang berkaitan dengan amalan terbaik, urus-tadbir beretika yang terbaik, indikator amalan terbaik (KPI), kerajaan yang cekap, dan ahli-ahli politik yang terbaik dan bermoral.
Kepimpinan Umno harus menggunakan kebijaksanaan dan bertindak proaktif dalam berdepan dengan kelahiran masyarakat berfikir yang akan bertanya tentang banyak perkara yang berkaitan dengan amalan terbaik, urus-tadbir beretika yang terbaik, indikator amalan terbaik (KPI), kerajaan yang cekap, dan ahli-ahli politik yang terbaik dan bermoral.
"Mereka semakin terbuka bertanya dan berani berpolemik tentang kedudukan bangsa, ke mana haluan sesebuah parti siasah, dan apakah yang dilakukan oleh pemimpin," kata Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Mereka ini, katanya, termasuk dari Generasi Net iaitu kelompok komuniti bloggers, Youtube dan My Space yang menjadikan ruang siber sebagai tempat yang paling terbuka dan bebas untuk memperolehi dan menyampaikan sebarang bentuk maklumat dan ilmu.
"Dasar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara yang mempertahankan kebebasan bermaklumat menjadikan, generasi ini amat interaktif sehinggakan soal nilai dan tanggungjawab bukan lagi menjadi ukuran mutlak," kata beliau dalam rencananya dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini sempena perhimpunan agung Umno minggu depan.
Oleh itu, katanya, kebijaksanaan dan tindakan proaktif untuk melakukan penyesuaian politik yang terbaik memungkinkan tidak berlaku penghijrahan keluar atau penolakan besar-besaran golongan ilmuwan, intelektual, dan generasi net terhadap Umno.
Katanya, pendekatan 'engagement' yang menolak pendekatan konfrontasi dalam suasana kebangkitan baru adalah pilihan terbaik kerana peperangan politik yang baru adalah peperangan minda dan idea, bukannya peperangan ideologi pilihan atau pertembungan 'zero-sum game' iaitu siapa menang ia berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja tanpa dicabar dalam konteks demokrasi.
"Mereka ini adalah generasi yang dilahirkan melalui dasar-dasar kerajaan. Dari satu segi, Umno boleh berbangga kerana kini jutaan mereka yang berijazah dan bergelar profesional dan teknokrat lahir dari perjuangan pendidikan Umno.
Penentu kerajaan
"Namun tanggungjawab memenuhi impian generasi ini yang memiliki daya fikir yang berbeza, cita-rasa politik yang berbeza, pandangan terhadap nilai-nilai kemelayuan yang berbeza, tentunya menjadi keprihatinan Umno," kata yang merupakan Exco Pendidikan, Institusi Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Perak.
Menurut Dr Zambri, golongan tersebut bebas menghina, mengecam dan memburukkan sesiapa dan apa sahaja menurut ukuran dan penilaian mereka.
"Mereka juga bebas memberikan sebarang pandangan tanpa disaring oleh dasar, akta, dan ideologi negara.
"Mereka inilah juga yang akan berada di peti-peti undi untuk membuat penentuan siapa dan parti apa yang akan memerintah negara. Mereka tidak akan lagi mendengar dan membaca apa yang disajikan kepada mereka semata-mata, tetapi dalam masa yang sama akan mencari sumber alternatif bagi mengimbangi dan membuat keputusan," katanya.
Dr Zambri berkata, mereka juga tidak akan rasa bersalah sekiranya tidak lagi menghayati perjuangan yang diasas oleh generasi terdahulu.
"Malah semangat kesiapsiagaan untuk menggerakkan sesuatu agenda berdasarkan keistimewaan turut mulai dipertikaikan, walaupun tanpa disedari diri mereka adalah hasil daripada agenda tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, mereka ini mengimpikan sebuah politik yang membuka ruang kepada rakyat untuk mengambil bahagian secara lebih aktif dan terbuka.
Berbakti pada rakyat
"Mereka mahukan kalangan ahli politik dan wakil rakyat dapat bersama mereka sama ada menangani masalah rakyat atau berada di forum dan ceramah. Mereka mahukan ahli politik dan wakil rakyat yang membuat kajian dan kerja-rumah sebelum berbahas," tambahnya.
Di samping itu, katanya, mereka mahukan ahli politik yang berteraskan nilai dan prinsip bekerja dan berbakti kepada negara dan rakyat.
"Bukannya golongan pengampu yang takut untuk memberi nasihat, pandangan, maklum balas kepada pemimpinnya kerana takut sekiranya nasihat itu disalah-ertikan maka dia tidak bergelar wakil rakyat lagi.
"Bukannya ahli politik yang kerjanya hanya untuk menjaga kepentingan politik dan membiarkan segala agenda pembangunan terlerai," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, realiti baru ini tidak bermakna Umno tidak mampu untuk menghadapi kebangkitan generasi baru tersebut.
"Sepanjang perjalanan sejarahnya Umno telah membuktikan bahawa pendekatan yang baik, dasar yang realistik, peluang dan ruang yang sentiasa terbuka untuk semua golongan berkelayakan, sebenarnya memberi kekuatan baru kepada Umno untuk terus berada di persada politik negara," katanya.

