Apakah kita harus mengenepikan sahaja hujah Perdana Menteri Singapura membuat perbandingan di antara Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia? Apakah yang hendak dibanggakan dengan Melayu Malaysia?

Melawatlah kita ke kawasan perumahan di bandar-bandar. Sembilan puluh peratus penghuni taman perumahan mewah bukannya Melayu Malaysia. Jika dikira kereta mewah di jalan raya, 90 bukan milik Melayu Malaysia. Kalau kelihatan pun 10 peratus rumah mewah atau kereta mewah, kita tahu siapa tuan empunya. Tuannya orang Umno, kalau tidak pun kuncu-kuncu Umno.

Untuk lihat Melayu Malaysia pergilah ke Taman KLCC, Tasik Titiwangasa, Taman Perdana, Kampung Baru, Sg Buluh, Gombak dan banyak lagi yang tidak tersenaraikan - itulah Melayu Malaysia.

Umno jangan menggelabah dengan ucapan Goh Chok Tong. Melayu Malaysia ialah bangsa yang malang sekali. Selepas 43 tahun Umno memperjuangkan nasib Melayu, mereka masih di takuk lama.

Yang berubah ialah sikap. Daripada kaum yang lembut, bertimbangrasa dan pengasih menjadi bangsa yang tamak, perasuah dan mementingkan diri sendiri. Inikah Melayu Malaysia yang hendak dibanggakan oleh Umno? Melayu masih menjadi kuli, buruh, pekerja am di gendung-gedung 'multinational'.

Apa yang hendak dibanggakan dengan Melayu Malaysia? Cukuplah. Jangan hendak jadi jaguh Melayu. Insaflah dan bertaubatlah, Umno, agar Melayu Malaysia tidak terus dipencilkan oleh kaum sendiri.