Setelah gagal mendapatkan kembali sokongan orang Melayu melalui isu Suqiu dan Muzakarah Perpaduan Melayu, Umno kini mencuba nasib pula dengan menjadikan penutupan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya sebagai isu terbaru bagi memulihkan kembali imejnya sebagai pejuang Melayu. Nampaknya usaha kali ini yang diterajui oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Presiden Umno, dan disokong akhbar Utusan Malaysia agak berjaya menyatukan suara orang Melayu terutama di kalangan mahasiswa serta pensyarah, lagi-lagi di UM sendiri.

Namun jika dikaji dan diambil pandangan semua pihak terutamanya daripada pihak pengurusan UM sendiri, jelas kelihatan bahawa penutupan Pusat Asasi Sains UM merupakan satu 'non-issue'. Ini kerana keputusan sudah dibuat lima tahun yang lepas ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pendidikan dan UM diterajui Prof Tan Sri Abdullah Sanusi Ahmad sebagai Naib Canselor. Jika hendak menjadikan penutupan pusat ini suatu isu, mengapa sekarang? Mengapa tidak lima tahun lepas? Sedangkan lima tahun lepas yang membangkang penutupan ini ialah pihak pembangkang ketika itu, terutamanya PAS.

Isu dengan penutupan Pusat Asasi Sains UM, maka tiada tempat lagi untuk anak Melayu melanjutkan pelajaran ke matrikulasi universiti, sebagaimana yang dilaporkan di akhbar (Utusan Malaysia) dan televisyen (TV3), adalah tidak berasas sama sekali. Malah alternatif yang yang dirancang oleh pihak Kementerian Pendidikan dan UM akan memberi lebih banyak ruang kepada pelajar Melayu mengikuti matrikulasi dan sistem ini akan memastikan pelajar terbaik sahaja akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di UM selaras dengan hasrat UM menjadi semula universiti terbaik di rantau ini.

Menurut Prof Dato Anuar Zaini, Naib Canselor UM, Pusat Asasi Sains UM hanya mampu menampung seramai 2,000 pelajar dengan membebankan pelajar lain kerana terpaksa berkongsi bilik dan kemudahan. Tetapi rancangan matrikulasi di luar kampus akan mampu menampung hampir 6,000 pelajar tanpa memberikan bebanan kepada UM.

Menurut sumber dalaman UM, akhir-akhir ini pencapaian pelajar Melayu dari matrikulasi luar terutamanya dari Kolej Mara Banting pada peringkat ijazah pertama, lebih baik daripada pelajar ijazah pertama dari Pusat Asasi Sains. Universiti lain seperti UKM dan USM telah lama melaksanakan program matrikulasi di luar kampus dan pencapaian pelajar Melayu dari program ini turut memberangsangkan.

Oleh itu adalah pelik mengapa Umno memainkan isu ini sedangkan mereka jugalah yang merancang perkara ini beberapa tahun lepas walaupun dibantah banyak pihak juga ketika itu.

Jelas ini suatu lagi sandiwara yang tidak berkesudahan oleh Umno untuk menarik balik sokongan orang Melayu kepada mereka kali ini. Yang dipergunakan ialah bekas pelajar dan pensyarah Asasi Sains UM yang bertindak lebih atas dasar sentimental dan nostalgia lampau dan yang menjadi mangsa ialah pengurusan UM terutamanya Naib Canselor UM yang baru, Prof Dato Anuar Zaini.

Syabas kepada Anuar kerana tetap berpegang kepada prinsip walaupun ditekan oleh Timbalan Perdana Menteri. Namun tahniah terutamanya kepada Umno kerana sandiwara kali ini nampaknya agak berjaya.