Adakah manusia mampu menentang masa? Mustahil. Keadaan yang sedang berlaku sekarang sukar untuk menyatakan orang Melayu belum mahu berubah ([#1]Melayu belum mahu berubah[/#], 15 Jan).

Perubahan bukan bererti hanya macam dari biru ke hijau atau pertukaran pemimpin dan pemerintah. Yang ini hanya perubahan nilai muka sahaja. Sudah sampai masa kita mengetahui bagaimana ia boleh berlaku.

Selama ini pun bukan tidak pernah berlaku perubahan. Cuma orang Melayu tidak pernah ambil pusing. Cuba kita lihat perubahan yang berlaku di bawah pucuk pimpinan satu tubuh badan yang sama dari tahun 1982 hingga sekarang dan apakah perubahan yang telah berlaku (nilai muka positif dan negatif).

Sebenarnya kita boleh membahagikan perubahan ini kepada dua peringkat, tetapi kedua-duanya berakhir dengan krisis. Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi Perdana Menteri melalui jalan mudah pada tahun 1981 dan berakhir dengan krisis pertama yang serius, iaitu kemusnahan parti Umno pada tahun 1987. Pada detik ini sebenarnya telah berakhir peringkat pertama kepimpinan dan pemerintahan Mahathir. Peringkat pertama ini bukan sahaja memberi peluang Mahathir memperolehi pengalaman sebagai ketua negara, juga menyedari tentang kelemahan sebenar orang Melayu seperti yang pernah didedahkan di dalam bukunya Malay Dilemma.

Di peringkat kedua kepimpinan dan pemerintahan Mahathir dengan menggunakan parti barunya juga membawa perubahan yang pernah dianggap oleh hampir semua orang Melayu sebagai luar biasa, tapi berakhir juga dengan krisis. Kesimpulannya ialah kepimpinan dan pemerintahan di bawah satu tubuh yang sama ini telah terbukti menghasilkan krisis setiap hampir 10 tahun. Yang malangnya ialah tidak ramai orang Melayu boleh menerangkan bagaimana ia boleh berlaku. Adakah tidak mustahil tubuh yang sama ini boleh bertukar menjadi dua watak yang berbeza disebabkan oleh sifat orang Melayu yang tidak berubah. Adakah sukar bagi orang Melayu untuk memikirkan bahawa tubuh yang sama memberi madu boleh juga memberi racun kepada mereka tanpa disedari?

Maka perubahan yang ingin kita lihat bukan setakat perubahan tubuh badan dan bentuk pemerintahan secara fizikal, tapi proses yang berlaku di dalamnya. Untuk itu orang Melayu seharusnya mampu berfikir dan bertindak lebih proaktif serta mengambil peluang lebih luas di dalam proses pembinaan negara dari masa ke semasa.