Membaca artikel yang ditulis oleh penulis seperti MGG Pillai, Harun Rashid, Dr Farish A Noor, Lee Ban Chen mahupun Hishamuddin Rais boleh memberi gambaran sebenar tentang sejarah dari sudut yang berbeza. Kita memerlukan lebih banyak tulisan sebagai sumber ilmu, maklumat dan sejarah untuk mengisi kekosongan dari sudut pandangan alternatif. Sekurang-kurangnya boleh memberikan ruang untuk rakyat membuat pilihan yang lebih berwibawa.

Generasi saya, yang berusia tigapuluhan dan selepasnya tentu telah disogokkan dengan kebenaran atau keaslian sejarah yang ditulis oleh pendokong pemerintah. Apa yang dipaparkan mungkin sebagai strategi untuk menonjolkan kehebatan perjuangan mereka, bukan memaparkan apa yang sebenarnya terjadi. Satu pendekatan yang turut dilakukan oleh mereka yang berkuasa di mana-mana negara. Kerana itu isu seperti ketuanan Melayu terus menghantui dan dijadikan ugutan oleh mereka yang sebenarnya cuba menyembunyikan penyelewangan sambil terus berkuasa dengan pendekatan 'pecah dan perintah'.

Kekalutan media massa perdana Malaysia sejak tiga tahun lalu telah memburukkan keadaan. Sejarah yang sedang dilalui sejak pemecatan Anwar Ibrahim mungkin boleh mengubah apa yang telah berlaku sebelumnya yaitu dari sejarah yang ditulis dan menjadi bahan standard sistem pendidikan negara. Sejarah negara mesti ditulis semula dengan penyelidikan yang lebih terbuka dan berwibawa.

Sememangnya tidak mudah untuk menulis semula sejarah kerana banyak sumber dan bahan yang telah dimamah zaman. Tetapi ia bukan mustahil sekiranya ada kerjasama, usaha bersepadu dan tentunya dana yang mencukupi dengan sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pelbagai bangsa, pemimpin, ahli akademik dan pengkaji sejarah tempatan serta antarabangsa.

Mungkin dengan menulis semula sejarah, gagasan bangsa Malaysia akan menjadi kenyataan kerana dengan mempunyai satu bahan bersama yang ditulis secara terbuka, banyak pemahaman baru tentang pelbagai persoalan yang selama ini terpendam akan terbongkar. Begitu juga generasi akan datang boleh melihat wajah sebenar negara dan bersama membangunkan negara dengan lebih gigih. Mengurangkan permainan isu dari sejarah yang mungkin direka-reka.

Tetapi kita tidak mungkin dapat menulis semula sejarah di bawah kerajaan yang ada pada hari ini, terlalu banyak kepentingan yang perlu dipertahankan. Mungkin kita terpaksa menanti pilihanraya 2004 untuk mengubah segalanya. Sehingga itu, kita terpaksa berpuas hati dengan tulisan-tulisan mereka yang berani untuk menulis semula sejarah secara individu!