Badan Pencegah Rasuah (BPR) hanya boleh mengarahkan identiti pemberi maklumat didedahkan sekiranya dibuktikan bahawa dia sengaja memberi maklumat palsu, kata bekas Pengarah BPR Sabah, Ramli Abdul Manan.

Hanya atas sebab itu, baru BPR boleh mengarahkan identiti pemberi maklumat didedahkan, kata Ramli yang merupakan pemberi maklumat dalam tuduhan terhadap bekas Ketua Pengarah BPR sebelum ini.

Sebaliknya, dalam kes klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam, berkata tumpuan siasatan BPR sepatutnya terhadap peguam kanan tersebut, dan bukannya sumber klip video itu.

Ketika dihubungi hari ini, Ramli berkata, BPR silap apabila mengarahkan Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin supaya mendedahkan identiti sumber klip video itu yang telah menggegarkan badan kehakiman negara.

Ramli yang telah bersara selepas 28 tahun berkhidmat dengan BPR, memberitahu demikian ketika diminta mengulas mengenai klip video tersebut yang menunjukkan Lingam berbual melalui telefon, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2002 mengenai pelantikan hakim-hakim.

Pada 20 September lalu, Sivarasa dan Sim membuat laporan kepada BPR menggesa badan itu menyiasat kandungan klip video tersebut.

Kesahihan klip video

Mereka kemudiannya dipanggil memberi kenyataan kepada BPR dan diminta mendedahkan identiti sumber tersebut, sebelulm diberikan notis mengarahkan mereka berbuat demikian dalam tempoh seminggu (hingga hari ini) atau berdepan dengan risiko hukuman penjara.

Notis itu menyebut, kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut, melanggar Seksyen 29 (c) Akta Mencegah Rasuah 1997.

Di bawah Seksyen 58 akta yang sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara.

Bagaimanapun, Ramli berkata, beliau keliru sama ada BPR hanya menyiasat kesahihan klip video tersebut atau dakwaan rasuah yang berlaku antara Lingam dan Ahmad Fairuz.

"Jika mengenai kesahihannya, saya tidak fikir mereka mempunyai kuasa untuk menggunakan sebarang peruntukan dalam akta tersebut.

"Jika dakwaan kedua, maka BPR mesti terlebih dahulu menentukan apakah perbuatan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Lingam dan Fairuz," katanya.

Pemberi maklumat

Ramli menjelaskan bahawa BPR sepatutnya menyiasat sama ada Fairuz membuat sebarang bayaran kepada Lingam atau menjanjikannya sebarang habuan kerana membantunya mendapatkan jawatan Ketua Hakim Negara, atau sama ada Fairuz pernah menggunakan kedudukannya selepas menjadi Ketua Hakim Negara dalam membantu Lingam menang kes-kesnya.

"Jika ini ditentukan terlebih dahulu, maka pegawai penyiasat tahu apa yang nak buat dan apakah bukti yang dia perlukan dapatkan untuk membuktikan perbuatan rasuah.

"Saya tidak fikir ianya penting bagi mereka untuk mengetahui siapakah pemberi maklumatnya," katanya.

Ramli juga menegaskan penting bagi BPR untuk terlebih dahulu mengesahkan sama ada kandungan klip video itu betul atau palsu.

"Jika ianya benar, maka kita dapatkan bukti untuk membuktikan bahawa perbualan tersebut benar-benar berlaku. Klip video itu hanyalah untuk menyokong bukti.

"Bukti utama akan diperolehi dari orang yang mendengar apa yang dicakapkan oleh Lingam dan apa Lingam beritahu mereka selepas itu dan apakah yang mereka tahu mengenai usaha Lingam untuk mengatur pelantikan hakim," katanya.

Ramli sebelum ini mendedah dakwaan rasuah hingga salahlaku seks terhadap bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

'Fikir semula strategi'

Pendedahan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dihantar oleh Ramli tahun lalu kepada Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Bakri Omar.

Dalam bulan Julai, Zulkipli telah dibersihkan daripada tuduhan rasuah oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang berkata, siasatan tidak menunjukkan wujud sebarang unsur-unsur jenayah dalam bentuk amalan, pelakuan atau kelalaian oleh Zulkifli atau berlaku sebarang perbuatan salahguna kuasa.

Ramli juga berkata, tindakan memberi notis mengarahkan dua individu dari PKR supaya mendedahkan identiti pemberi maklumat, tidak pernah berlaku dalam sejarah BPR sebelum ini.

"Setahu saya (tindakan ini yang diambil oleh) BPR untuk memaksa kedua-kedua mereka (mendedahkan identiti pemberi maklumat) adalah yang pertama dalam sejarah BPR. Ianya tidak pernah berlaku sebelum ini dan akan menjejaskan kesediaan pemberi maklumat yang lain untuk memberi maklumat kepada BPR," katanya.

Ramli juga berkata, BPR nampak seolah-olah mahu menang 'perang kecil' dan kalah dalam perang besar untuk membasmikan rasuah.

"Mereka perlu memikirkan semula strategi mereka itu," tambahnya. Berita asal