Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan yang ke-36 telah berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober 2007 di Menara PGRM Kuala Lumpur. Persidangan kali ini lebih diperhatikan kerana ia diadakan menjelang pilihanraya umum ke-12, serta dikendalikan oleh pemangku Presiden, Dr Koh Tsu Koon yang bakal mengambilalih kepimpinan parti dari Dr Lim Keng Yaik.

Seperti semua pemimpin yang akan naik ke pentas, Dr Koh tentu ingin menampilkan ketokohannya yang lebih impresif. Justeru, selain meminta kerajaan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang didapati terlibat dalam salahlaku dan penyelewengan, beliau telah menggesa agar suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat klip video yang didakwa mengatur pelantikan hakim.

Dr Koh tidak menentang penubuhan panel bebas untuk menyiasat kesahihan klip video itu sebagai langkah pertama, penubuhan suruhanjaya diraja hanya langkah susulan jika panel bebas telah mensahihkan klip video itu.

Namun yang dipertikaikan kini ialah tentang 'kebebasan' ahli-ahli panel yang dilantik memandangkan latarbelakang mereka, dan sebagai panel bebas, ia tidak berkuasa untuk memanggil saksi dan melindungi identiti dan keselamatan mereka.
Jika dalam peringkat pertama, kesahihan klip video terbabit telah diperlekehkan oleh panel bebas, maka gesaan Dr Koh itu tidak bermakna, selain daripada mengaburi tumpuan dan desakan agar peranan panel bebas terbabit diambilalih oleh penubuhan suruhanjaya diraja.

Tidak dapat dinafikan keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman negara kita sudah makin terjejas akibat keengganan kerajaan menyetujui tuntutan munasabah penubuhan suruhanjaya diraja, kerana mungkin ada udang di sebalik batu!

Di samping itu, Ketua Pemuda Gerakan, Mah Siew Keong dalam ucapannya telah menyaran agar 14 buah parti komponen BN digabung menjadi Parti Barisan Nasional yang tunggal bagi memastikan agenda perpaduan nasional Malaysia tercapai sepenuhnya.

Parti BN

Cadangan ini disokong Dr Koh dengan jaminan Gerakan akan menjadi parti pertama dibubarkan untuk menyertai Parti BN jika penubuhannya dapat diwujudkan.

Tetapi Mah diingatkan bahawa cadangan ini tidak dapat dipaksakan ke atas parti-parti komponen BN yang lain. Dari tahun 1980-an lagi, masa beliau menyandang Ketua Pemuda Gerakan, Mah telahpun beberapa kali mengemukakan cadangan yang sama, dan mendapat sambutan yang positif.

Namun, dari masalah selepas percantuman yang dikemukakan beliau, umpamanya pemimpin dari kaum manakah yang akan menjadi ketua bahagian, dan keengganan beliau untuk menegaskan pendirian menolak slogan perkauman "Undilah Gerakan untuk mempertahankan Ketua Menteri Cina di Pulau Pinang" bila dicabar pemberita, maka nampaknya Dr Koh sendiri masih tidak dapat keluar dari kepompong fahaman perkauman yang merupakan kebudayaan politik BN selama in!

Presiden MCA, Ong Ka Ting sungguhpun tidak menafi kemungkinan BN menjadi parti tunggal pada jangka masa yang panjang, tetapi beliau lebih memandang berat realiti politik (perkauman) sekarang. Tanpa persediaan yang mencukupi, beliau khuatir masalah akan timbul selepas percantuman itu.

Tanya beliau, adakah parti BN yang tunggal itu akan dikuasai oleh kaum majoriti? Keadaan selepas itu akan menjadi lebih baik atau lebih buruk? Beliau anggap masalah-masalah tersebut perlu dikaji secara berhati-hati.

Soalan-soalan Ka Ting dijawab Presiden MIC, S Samy Vellu secara terus-terang. Samy Vellu menentang cadangan penubuhan Parti BN yang tunggal. Menurut beliau, ia akan mengakibatkan parti tunggal itu dikuasai kaum majoriti dan MIC dan parti-parti kaum minoriti yang lain akan dipinggirkan!

Dasar ketuanan Melayu

Maklumlah dalam BN yang masih ditunjangi Umno yang enggan melepaskan dasar ketuanan Melayu dan bumiputraime, segala retorik tentang Parti BN yang tunggal adalah sia-sia saja.

Tanpa berfikir panjang, Pak Lah menolak saja cadangan tersebut sebagai tidak praktikal kerana ia boleh melemahkan BN yang sudah menerajui tampuk pemerintahan negara sejak sekian lama.

Malah beliau menganggap penggabungan tersebut boleh mewujudkan kelompok-kelompok kaum yang lebih besar sehingga membangkitkan semangat berpuak-puak yang akhirnya boleh memecahbelahkan perpaduan dalam BN.

Nyata sekali, pemimpin parti komponen BN telah terkongkong dalam set minda perkauman. Jika set minda perkauman ini tidak mengalami anjakan paradigma - sama ada mereka tetap merupakan 14 parti komponen BN atau bercantum menjadi sebuah parti tunggal - isu-isu dan perbalahan kaum tetap akan menghantui mereka!