Desas-desus bertiup kencang di Terengganu bahawa Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh akan dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu selepas pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu itu, tidak senang dengan desas-desus tersebut, yang disebarkan oleh pihak tertentu menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Ketika diajukan soalan mengenainya, Wan Ahmad Farid bagaimanapun berkata beliau tidak boleh menghalang orang ramai daripada menyebarkan desas-desus mengenai perkara tersebut.

Menurut Wan Farid,45 - bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London itu - adalah lebih baik orang tidak bercakap mengenai perkara tersebut

"Dalam politik kita tidak boleh menyimpan cita-cita yang besar kerana kedudukan kita ditentukan oleh takdir.

"Saya tidak fikir ke arah itu kerana pada masa ini keutamaan ialah lebih baik kita bersama-sama memajukan negeri kita.

"Kerajaan negeri hari ini pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh telah menjalankan tugas dengan baik," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya, Rabu lalu.

Karier politik

Wan Farid berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus yang semakin kuat bertiup di Terengganu bahawa beliau akan menjadi menteri besar Terengganu selepas pilihanraya umum akan datang.

Wan Ahmad Farid adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Ladang Datuk Wan Hisham yang juga Exco Kemudahan Awam kerajaan negeri Terengganu.

Wan Ahmad Farid, anak jati Kuala Terengganu itu, merupakan anak muda yang semakin meningkat karier politiknya, khususnya di Terengganu.

Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi Ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan menjadi menjadi exco Pemuda Umno Malaysia dari 1999 hingga 2004.

Pada tahun 2001 beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik menjadi setiausaha politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

'Lautan biru'

Mengenai peluang PAS untuk merampas semula Terengganu dalam piihanraya umum akan datang, Wan Farid berkata, parti itu sudah tidak relevan lagi.

Katanya, ini kerana para pemimpin PAS hanya bercakap mengenai isu sahaja untuk membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

"Sebenarnya pelancaran Lautan Biru oleh Umno negeri telah menyebabkan strategi PAS untuk menawan semula negeri itu sudah tidak relevan," katanya.

PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999 tetapi berjaya dirampas semula oleh BN pada 2004.

Bagaimanapun, pemimpin PAS mendakwa parti itu akan kembali berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang yang dijangka diadakan pada awal tahun depan.