Prof Madya Din Merican sertai PKR
Seorang penasihat pengurusan berpengalaman dalam bidang kewangan, Prof Madya Din Merican hari ini secara rasminya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Seorang penasihat pengurusan berpengalaman dalam bidang kewangan, Prof Madya Din Merican hari ini secara rasminya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail di ibupejabat PKR pagi tadi.
Berikutan itu, Setiausaha Agung PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan pelantikan Prof Madya Din sebagai ketua kakitangan pejabat ketua umum dan setiausaha agung parti itu.
Hadir sama ialah Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Penerangan, Tian Chua.
Prof Madya Din yang berasal dari Kedah, berkhidmat di Universiti Kemboja dan Fello Institut Kerjasama dan Keamanan Kemboja (CICP) - sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen untuk kemasukan negara itu ke dalam Asean.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pembantu setiausaha (politik) kepada Kementerian Luar Burma, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina dan Vietnam Selatan.
Prof Madya Din mendapat pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi, sarjana dalam perniagaan dan kewangan dari Universti George Washington.
Berpengalaman luas
Dalam kerajaan, Prof Madya Din Merican pernah menjadi setiausaha bersama Jawatankuasa Intelegensia British-Malaysia semasa tempoh konfrontasi dengan Indonesia pada 1963-1965.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai analisis pengurusan di Bank Negara dan pernah menyandang jawatan pengarah urusan di KPM Khidmat, sebuah syarikat konsultan kepada Bank Pertanian Malaysia.
Selepas berkhidmatan sebagai pengarah perancangan Kumpulan Fima Berhad (1976-78), Prof Madya Din menyertai Kumpulan Sime Darby dalam penstrukturan semula kewangan pada 1978 hingga 1991.
Wan Azizah mengalu-alukan dan gembira dengan kemasukan Prof Madya Din ke dalam PKR kerana menurutnya beliau seorang yang berpengalaman dan mempunyai prinsip perjuangan.
Katanya, rakyat perlu berjuang untuk masa depan negara dan juga untuk generasi muda.
Sementara itu, Tian Chua mempersoalkan mengapa Malaysia tidak menyatakan pendiriannya mengenai apa yang berlaku di Burma sekarang.
Pelaburan Petronas
Katanya, ketika pemimpin negara lain mengutuk keganasan junta tentera Burma terhadap orang awam, pemimpin negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Kerajaan Malaysia perlu memberi amaran kepada Burma jika mereka masih tidak menghentikan kekerasan," katanya.
Bagaimanapun, kata Tian Chua, ia mungkin ada hubungkait dengan pelaburan besar Petronas di negara itu.
Sementara itu, satu buletin yang diedar dalam sidang media tersebut menyebut Petronas mendapat empat blok mencarigali minyak di Burma.
Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohamad Hassan Marican dengan Timbalan Menteri Tenaga Burma, U Tin Tun.
"Petronas kini menjadi pelabur terbesar di Burma," katanya.

