Maka bara yang menyala jika disimbah minyak pasti menjadi lautan api yang marak. Semakin besar api yang membakar semakin sukar untuk dikawal. Semakin garang api yang membahang semakin lama masa yang diambil untuk dipadam. Dan semakin kuat api berkibar, korban pasti menjadi semakin besar.

Akhbar-akhbar arus perdana terutamanya Utusan Malaysia pada minggu lepas dalam sorotan berita muka depan mereka selama berhari-hari merenjis minyak pada bara. Api perkauman yang cuba ditiup ini wajar dipadamkan selekas mungkin sebelum ia merebak menjadi api yang sukar dikawal.

Pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung tanggal 11 Disember 2000, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mendakwa bahawa pertubuhan Cina Suqiu menyerupai komunis dan Al-Ma'unah kerana rayuan yang dibuat oleh Suqiu itu disifatkan beliau sebagai mencabar kontrak sosial negara yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin dari berbagai kaum di Malaysia.

Bermula dengan kenyataan Perdana Menteri itu, maka berbondong-bondonglah kenyataan diterima daripada pelbagai kelompok persatuan Melayu yang pro kerajaan, juga dari pemuda Umno serta pelbagai menteri kanan yang menari mengikut rentak gendang yang telah dipalu oleh Perdana Menteri.

Jerit-pekik, lenggang-lenggok langkah sumbang tarian para pemimpin Melayu yang membuntuti Perdana Menteri ini disambut pula oleh Utusan Malaysia dengan paparan berita muka depan dengan tajuk yang mengapi-ngapikan sentimen pertentangan kaum antara Melayu dan Cina.

Mancis sudah digores. Minyak sudah ditangan. Sebelum kedua-dua elemen yang membakar ini dicucuh bersama, maka adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada setiap pemimpin tertinggi dari Barisan Alternatif untuk tampil ke hadapan memadamkan bara yang menyala dengan mengeluarkan kenyataan bersama melalui semua saluran media yang ada, kepada seluruh rakyat Malaysia.

Presiden PAS Fadzil Noor, Presiden DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PRM Dr Syed Husin Ali harus mengambil tindakan segera dengan duduk semeja memanggil sidang akhbar dan mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan posisi mereka berhubung dengan isu Suqiu ini.

Jika ini tidak segera dilakukan oleh pemimpin tertinggi Barisan Alternatif, bara yang menyala pasti akan dicurah minyak oleh tangan-tangan yang gilakan kekuasaan. Mereka ini akan mempertahankan kuasa mereka dengan apa cara sekali pun, hingga membakar rakyat sendiri pun mereka akan sanggup.

Semakin kuasa itu terjepit semakin kuat rakyat akan dihimpit. Semakin kuasa itu terdesak semakin licik cara yang digunakan untuk melaga-lagakan rakyat. Semakin kuasa itu dicabar semakin busuk cara yang digunakan untuk mematikan rakyat yang bangkit.