Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mahukan pembaharuan dalam undang-undang pilihanraya, tetapi bukan setakat penggunaan dakwat tidak boleh padam untuk mengundi dan kotak undi lutsinar sahaja.

Sebaliknya, Bersih - yang merupakan gabungan 25 badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti pembangkang - mahu beliau mengambil lebih banyak inisiatif untuk membawa pembaharuan dalam proses pilihanraya di negara ini.

Dalam temubual dengan akhbar New Sunday Times pada 23 September lalu, Abdul Rashid berkata, SPR berpandangan bahawa semua mereka yang menyertai proses pilihanraya mempunyai hak untuk mendapat layanan yang saksama dan undang-undang perlu melayan mereka seperti sepatutnya.

Abdul Rashid berkata, negara telah melalui banyak perubahan, maka beliau merasakan bahawa masanya sudah tiba bagi perubahan juga dilakukan terhadap proses pilihanraya.

Dalam satu kenyataannya, Bersih berkata, pilihanraya yang bersih, bebas dan adil merupakan asas dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa mengamalkan demokrasi.

"Tetapi malangnya, pilihanraya di Malaysia sering dicemar dengan penipuan dan tidak wujud peluang yang sama rata untuk parti-parti yang bertanding," tambahnya.

Tuntutan Bersih

Sehubungan itu, menurut Bersih lagi, tuntutannya - yang pada asasnya hanya membabitkan soal pentadbiran dan prosedur - boleh dilaksanakan serta merta oleh Suruhanya Pilihanaya selaku 'badan pentadbir' pilihanraya di negara ini. Tuntutan tersebut ialah:

Penggunaan dakwat yang tidak boleh dipadam;

Hapuskan undi pos;

Peluang sama rata untuk media;

Sekurang-kurangnya 21 hari berkempen; dan

Membersihkan senarai pemilih.

"Bersih mengalu-alukan usaha Tan Sri Abdul Rashid untuk melaksanakan penggunaan dakwat tidak boleh padam dalam pilihanraya akan datang, serta "berbincang" dengan kerajaan untuk membenarkan ejen parti menghadiri proses undi pos," katanya.

Sehubungan itu, Bersih menggesa kerajaan, khususnya menteri-menteri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis dan tentera, iaitu Perdan Menteri, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menerimapakai nasihat SPR.

Bersih juga, kata kenyataan tersebut, menghargai pandangan Abdul Rashid bahawa semua parti, termasuk pembangkang, mesti diberi tempat dalam media.

Menurut Abdul Rashid, dalam pilihanraya yang demokratik, seseorang pengundi itu mesti mempunyai maklumat untuk membuat pilihannya.

"Ini bermakna, sebelum hari pengundian, pengundi mesti tahu apakah platform, program dan perancangan calon. Supaya pengundi dapat mengetahui mengenainya, maka semua parti politik mesti diberi peluang mendapat liputan media," kata Abdul Rashid dalam temubual tersebut.

Tempoh berkempen

Mengenai tempoh berkempen, Bersih berkata, di United Kingdom, tempohnya ialah sebulan, manakala dalam sistem pilihanraya di Australia, tempohnya selama lima minggu.

Menurut Bersih lagi, sewaktu pilihanraya pertama di Malaysia pada 1955, tempoh berkempennya adalah selama 42 hari.

"Bersih menyarankan tempoh berkempen selama 21 hari, iaitu separuh daripada tempoh berkempen pada 1955, bagi memberi peluang sama rata, khususnya kepada calon-calon pembangkang yang biasanya dinafikan akses dalam media massa," kata Bersih.

Mengenai senarai pemilih pula, Bersih berkata, pihaknya memahami halangan-halangan yang dihadapi oleh SPR dalam merombak semula senarai pemilih.

Bagaimanapun, tambahnya, ia tetap menjadi tugas SPR untuk memainkan peranan pro-aktif, umpamanya, dengan memastikan nama orang yang sudah meninggal dunia, dibersihkan dari senarai tersebut.

"Tambahan pula, sistem pendaftaran pengundi secara sukarela sekarang ada kecacatannya apabila kira-kira empat juta daripada 15 juta rakyat yang layak, masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"Menurut Tan Sri Abdul Rashid, 80 peratus daripada mereka yang belum mendaftar itu adalah orang Melayu. Oleh itu, Bersih menggesa supaya sistem pendaftaran automatik digunakan," katanya.