GRS pengkhianat, bukan Umno - Bung Moktar
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menyelar Timbalan Ketua Menteri 1 negeri itu, Jeffrey Kitingan kerana melabel parti berpangkalan di Semenanjung sebagai 'penjajah'.
Dalam satu kenyataan, dia mengingatkan timbalan pengerusi GRS itu bahawa dia juga pernah menjadi sebahagian daripada BN, iaitu gabungan yang berasal dari Semenanjung.
“Sebagai seorang individu yang menghormati prinsip demokrasi, saya berpendapat ucapan Jeffrey Kitingan berunsur hasutan, retorik murahan dan hanya menjatuhkan kredibiliti beliau sendiri.
"Saya tahu Jeffrey Kitingan sedang berusaha menjadi hero di dalam parti GRS yang sedang tenggelam namun tidak berjaya.
"Adalah menjadi hak BN untuk bertanding dan membawa aspirasi rakyat. Sejarah tidak pernah lupa bahawa Jeffrey Kitingan juga pernah menjadi ahli BN suatu masa dulu," kata Bung.
Kenyataan Bung itu sebagai balasan kepada ucapan Jeffrey Kitingan semasa pelancaran Pemuda GRS baru-baru ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dilaporkan melabel parti politik yang berpangkalan dari Semenanjung sebagai penjajah Sabah, dan pemimpin mereka sebagai 'pengkhianat'.
Dalam kenyataannya, Bung turut menyelar Jeffrey Kitingan dan GRS berhubung skandal rasuah yang melanda pentadbiran negeri Sabah baru-baru ini.
“Adakah Jeffrey Kitingan sedar bahawa pemimpin GRS yang mempunyai kuasa, yang membincang agihan keuntungan, yang terperangkap dalam video adalah pemimpin GRS sendiri dan bukan Umno.
"Ini sebenarnya pengkhianatan yang merosakkan dan menghancurkan masa depan Sabah," katanya.
Kenyataan Jeffrey Kitingan itu juga menimbulkan kemarahan PKR Sabah, yang merupakan sekutu GRS.
Menurut laporan SabahNewsToday, Setiausaha PKR Sabah Sazalye Donol mencabar Kitingan untuk keluar daripada kerajaan perpaduan persekutuan jika dia tidak lagi dapat bekerjasama dengan parti Semenanjung.

