Apakah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semakin kurang mendapat sokongan? Persoalan ini timbul ekoran penubuhan pertubuhan pekerja yang baru oleh kesatuan sekerja gabungan MTUC sendiri yang mendakwa mereka kecewa dengan kepimpinan kongres itu sekarang dalam menangani isu-isu pekerja.

Kesatuan tersebut - Pertubuhan Pekerja Islam Malaysia (PPIM) - telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 April lalu.

Malaysiakini diberitahu, sekumpulan pemimpin pekerja yang mengambil dayausaha untuk menubuhkan PPIM, tidak puas hati dengan pucuk pimpinan MTUC yang didakwa gagal membela kebajikan pekerja, khususnya yang beragama Islam.

Sebelum ini, beberapa ahli gabungan MTUC tidak puas hati dengan pendekatan Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud (foto) dalam menangani isu tuntutan pelaksanaan gaji minima pekerja swasta.

Mereka menganggap sikap Syed Shahir cuba menimbulkan polimik atau pertentangan dengan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, menyebabkan perjuangan untuk membela nasib pekerja di sektor swasta, menjadi tidak berkesan.

"Ramai ahli dan kesatuan gabungan MTUC yang kecewa dengan tindakan kepimpinan kongres tersebut yang cuba membawa pihak-pihak yang tidak kena mengena dengan pekerja, termasuk parti politik tertentu, sepertimana yang berlaku dalam tuntutan gaji minima," kata sumber-sumber yang terbabit dalam penubuhan kesatuan sekerja baru itu.

Menurutnya, sebahagian besar peneraju utama PPIM merupakan penyokong kuat bekas Presiden MTUC, Datuk Zainal Rampak yang kalah dalam pemilihan lalu.

Sokongan moral

Katanya, antara kesatuan sekerja yang menyokong dan menggerakkan penubuhan PPIM ialah Kesatuan Pekerja Telekom (NUTE), Airod Sdn Bhd dan kesatuan Sekerja Penerbangan Malaysia (Maseu).

Presiden Penaja PPIM ialah Jaafar Majid dari NUTE, Mustaffar Maarof (Maseu) sebagai Setiausaha Agung dan Nor Azhar Zainuddin (Airod) sebagai bendahari.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, Zainal tidak terbabit dengan penubuhan PPIM tetapi memberi sokongan moral terhadap usaha tersebut.

"Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar juga menyambut baik penubuhan PPIM sebagaimana yang dinyatakan dalam pertemuan kedua-dua pihak baru-baru ini," katanya.

Sumber-sumber itu berkata, PPIM juga mahu berperanan membela pekerja Islam terutama yang bekerja dengan syarikat luar negara yang beroperasi di negara ini," katanya.

Menurutnya, hasrat untuk menubuhkan PPIM telah disuarakan oleh banyak kesatuan gabungan MTUC yang beragama Islam sejak tahun 2002 Iagi.

Ini kerana kata sumber tersebut, MTUC tidak mampu untuk membela sepenuhnya kebajikan pekerja Islam di negara ini.

Ditanya mengenai sambutan terhadap kesatuan baru itu, sumber-sumber berkenaan berkata, ia bergantung kepada tindak-tanduk kepimpinan MTUC sekarang dalam menangani masalah pekerja dan hubungannya dengan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia.