Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn, supaya mengarahkan Timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar menarik balik tuduhan berulang-ulangnya terhadap MTUC sebagai alat pembangkang.

"Sekiranya Menteri Sumber Manusia terus membenarkan kenyataan yang menjejaskan kepentingan MTUC ini berkali-kali diulangi, MTUC akan mengambil tindakan yang tegas untuk mempertahankan hak dan maruah organisasi," kata Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud.

"MTUC berharap beliau bertindak segera agar perhubungan antara golongan pekerja dan kementerian tidak bertambah buruk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Shahir berkata, isu-isu pekerja yang diperjuangkan oleh MTUC, seperti Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (1967) (APP) dan Akta Kesatuan Sekerja (1959) (AKS) dan Tuntutan Gaji Minima RM900 dan Cola RM300, seharusnya menjadi keutamaan kementerian tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, MTUC pula di 'serang' berulangkali dengan kenyataan-kenyataan yang keterlaluan.

Beliau berkata, MTUC menganggap tuduhan-tuduhan terhadap MTUC itu lebih merupakan konflik serangan peribadi terhadap kepimpinan kongres kesatuan sekerja itu.

"Isu tuntutan gaji minima dan bayaran Cola bukanlah perkara baru. Ianya telah dibangkit oleh MTUC kepada kementerian sejak lapan tahun yang lalu, tetapi tidak mendapat tindakbalas yang sewajarnya daripada pihak berkenaan.

Golongan pekerja

"Bantahan MTUC terhadap Pindaan APP dan AKS adalah disebabkan pindaan tersebut dibuat di Parlimen dengan begitu pantas dan 'tergesa-gesa' tanpa terlebih dahulu berunding dengan MTUC yang mewakili sebahagian besar golongan pekerja di Malaysia," katanya.

Menurut Syed Shahir lagi, MTUC juga ingin menegaskan bahawa keanggotaan ahli-ahlinya maupun kepimpinan MTUC adalah dari kalangan individu pelbagai fahaman politik, sama ada dari kalangan parti pemerintah, parti pembangkang maupun mereka yang tidak berparti.

"Bagaimanapun segala keputusan yang dibuat oleh MTUC adalah berdasarkan garis-garis yang ditetapkan dan konsensus dalam kongres persidangan perwakilan MTUC, Majlis Am MTUC dan juga Jawatankuasa Kerja MTUC dengan mengenepikan fahaman politik masing-masing demi kepentingan para pekerja," katanya.

Menurutnya, perhimpunan pekerja bagi menuntut gaji minima dan bayaran Cola pada 25 Jun dan 8 Ogos baru-baru ini adalah keputusan sepakat yang dipersetujui dalam Majlis Am MTUC dan ianya telah diadakan serentak di 15 lokasi di bandar-bandar utama di seluruh negara.

"MTUC menegaskan bahawa ia sentiasa mengalu-alu mana-mana pihak yang berminat sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) maupun parti-parti politik dari parti pemerintah maupun parti pembangkang, untuk turut serta memberikan sokongan dalam perhimpunan awam tersebut.

"Lantaran itu MTUC ingin menegaskan sekali lagi bahawa MTUC adalah sebuah organisasi yang memperjuangan hak dan kepentingan golongan pekerja dan keluarga mereka.

"Justeru MTUC menyeru Menteri Sumber Manusia agar berhenti 'berkonfrantasi' dengan MTUC, tetapi sebaliknya haruslah menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan MTUC demi kepentingan golongan pekerja," tambahnya.