Pemimpin MTUC jangan jadi juara politik, kata Pemuda Umno
Tindakan pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencampuradukkan perjuangannya dengan kepentingan politik boleh merosakkan agenda kongres tersebut untuk membela nasib pekerja di negara ini, kata Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim.
Tindakan pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencampuradukkan perjuangannya dengan kepentingan politik boleh merosakkan agenda kongres tersebut untuk membela nasib pekerja di negara ini, kata Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim.
Menurutnya, jika mereka mahu mengheret MTUC ke dalam gerakan politik, maka pemimpin berkenaan perlu menjadi ahli politik dan bukannya pemimpin pekerja.
"Saya menasihatkan mereka supaya melihat semula agenda MTUC, adakah untuk membela nasib pekerja ataupun bersekongkol dengan parti politik pembangkang.
"Mereka kena ikut majoriti pekerja yang mengharap pemimpin mereka membela nasib pekerja dan bukannya menjadi juara politik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian ketika diminta mengulas pertelingkahan membabitkan Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Kedua-dua mereka saling menuduh antara satu sama lain dengan Abdul Rahman mendakwa MTUC menjadi alat pembangkang, manakala Syed Shahir menafikannya dengan mengatakan perjuangannya adalah untuk pekerja.
Sebelum itu, MTUC mengadakan piket di seluruh negara bagi menuntut kerajaan melaksanakan bayaran gaji minima di kalangan pekerja swasta.
Pembangunan negara
Razali berkata, mana-mana kesatuan sekerja akan bermasalah apabila ada pemimpinnya yang menggunakan kesatuan yang diterajuinya untuk meraih kepentingan peribadi.
Katanya, apabila perkara ini berlaku, pemimpin berkenaan sanggup berbuat apa sahaja termasuk bersekongkol dengan pembangkang asalkan hasrat mereka tercapai.
Razali berkata, pemimpin MTUC perlu menemui ahli Parlimen kerajaan kerana mereka boleh membantu dengan memanjangkannya kepada kerajaan.
Selama ini pun, katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib perkerja dan menganggap mereka sebagai penyumbang penting kepada pembangunan negara.
Beliau berkata, nasib golongan pekerja di negara ini terbela dan ini dapat dilihat daripada pelbagai isu yang telah berjaya diselesaikan.
"Sikap cuba menuduh kerajaan atau menteri, tidak memberi manfaat kepada pekerja, melainkan kepada beberapa kerat pemimpin MTUC," katanya.

