Ingin saya berkomen atas surat [#1] Muslimin dedah aurat dipuji[/#] (Nov 21) oleh Raven R Rascal.

Kata-kata saudara Raven memang benar belaka. Persoalan sekarang siapa yang berbangga dengan dedahan aurat Sazali mahupun tiga orang gadis Melayu yang bertanding di pertandingan ratu cantik tempoh hari?

Rasanya saudara Raven tahu juak mana yang begitu berbangga dengan keadaan ini.

Baru-baru ini Dato' Nik Aziz berceramah menyentuh soal aurat perempuan, ramai benar yang melenting dan mengamuk dan mereka ini sudah tentu dari juak yang sama yang menyukai keadaan 'terdedah'.

Paling menyedihkan yang lantang mempertikaikan kenyataan Dato' Nik Aziz datangnya dari orang yang mengaku Islam.

Dulu, Dato' Ishak Baharom melaksanakan undang-undang syariah negeri Selangor dengan menangkap tiga gadis Melayu yang memasuki pertandingan ratu cantik. Beliau dikecam dan apabila beliau menegur mereka yang mengecam, beliau telah ditamatkan perkhidmatannya.

Siapa yang mengecam tindakan Datuk Ishak Baharom? Tidak lain selain orang Islam sendiri dari juak yang sama seperti di atas.

Saya cukup hairan, bagaimana orang Islam sendiri begitu benci akan peraturan dan hukum Islam iaitu agama yang mereka anuti? Apa mereka ingat Islam itu sembahyang lima waktu sehari semalam, menunaikan haji, dan akad nikah saja?

Inikah kualiti Islam yang akan memenangkan Islam di akhir zaman? Bila tidak berkenan di hati dan tidak bersesuaian dengan kehendak mereka akan mudah melenting tanpa berfikir akibat dan kesan terhadap akidah sebagai seorang Islam.

Di Parlimen, Datuk Hajjah Nafsiah Omar begitu marah dengan kenyataan Dato' Nik Aziz berkenaan aurat perempuan sehinggakan Speaker Parlimen dan Datuk Hj Fadzil Noor pun di sergahnya.

Inilah Malaysia negara ku tercinta. Mencanang di dunia sebagai negara Islam contoh terbaik. Sedih jika ada negara lain yang mencontohinya.

Malaysia negaraku tercinta bukanlah sebuah negara Islam tetapi hanya sebuah negara sekular yang dipimpin oleh seorang Islam yang mengaku Islam.

Sebuah negara Islam haruslah diterajui oleh orang Islam, pemerintahan secara Islam dan mempunyai perundangan Islam (hudud).

Tok Sagor