Jawatankuasa Hak Sivil, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (CRC-KLSCAH) menegaskan bahawa sekiranya sektor swasta menyenaraikan kemahiran bahasa Cina sebagai syarat pengambilan kerja, ini adalah berasaskan keperluan pasaran dan tidak harus dilihat sebagai dasar perkauman pada syarikat tersebut. Perdana Mentei Abdullah Badawi menyatakan ketidakpuasan beliau tentang fenomena ini tempoh hari lalu.

CRC berpandangan bahawa syarikat swasta berkebebasan dan berhak untuk mengambil pekerja yang sesuai dengan keperluan syarikat. Dari segi ini, sesetengah syarikat menggariskan kemahiran bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia sebagai syarat, manakala syarikat lain turut mengkehendaki kemahiran dalam bahasa Mandarin. Sekiranya kerajaan mencampurtangan dalam pengambilan pekerja syarikat swasta, ia akan menafikan professionalisme dan kebolehan yang diperlukan dalam pekerjaan.

Munculnya kontroversi ini sebenarnya menggambarkan prejudis kerajaan terhadap persoalan bahasa sepanjang masa ini, ia sentiasa mengaitkan bahasa dengan kaum, serta melihat sesuatu bahasa itu harta milik eksklusif sesuatu kaum. Sebenarnya, bahasa tidak mempunyai sifat kaum dan semua golongan boleh mempelajari mana-mana bahasa.

Oleh itu, mana-mana kaum pun boleh belajar bahasa Mandarin dan melihatnya sebagai salah satu kebolehan untuk memenuhi keperluan pasaran. Kerajaan tidak harus berfikir secara sempit dengan menganggap kaum bukan-Cina semestinya tidak dapat mencapai syarat penguasaan bahasa Mandarin.

Dalam zaman globalisasi sekarang, persaingan dalam pasaran begitu hebat dan ahli profesional yang mempunyai kebolehan bahasa yang lebih akan mempunyai daya persaingan yang lebih tinggi. Oleh itu, kerajaan harus bersikap hati terbuka dalam isu bahasa dengan memupuk rakyat supaya belajar lebih banyak bahasa untuk meningkatkan daya persaingan.

Syarat kemahiran bahasa Cina, misalnya, sebenarnya akan menguntungkan anak-anak Melayu dan kaum-kaum lain yang belajar di sekolah-sekolah Cina - lebih kurang 10% daripada lepasan sekolah-sekolah Cina - dan juga mereka di kampus-kampus Universiti Mara. Mereka akan lebih mampu berdayasaing daripada anak-anak Cina yang tidak fasih berbahasa Cina.

CRC juga menegaskan bahawa penguasaan bahasa sebagai syarat pengambilan kerja tidak sama dengan syarat yang berdasarkan kaum. CRC menyokong kuat sekiranya kerajaan ingin menghapuskan sikap perkauman dengan mengharamkan pengambilan pekerja yang semata-mata berdasarkan kaum, tidak kira kaum Cina, India atau bumiputera.

Penulis adalah pengerusi, Jawatankuasa Hak Sivil, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.(CRC-KLSCAH).