Teksi dan Tahun Melawat Malaysia
Sudah lapan bulan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 berlalu. Dijangkakan TMM akan menjadi meriah lagi penghujung Ogos ini kerana pada tarikh itu, sambutan kemerdekaan yang ke-50 akan berlangsung. Majlis sambutan yang gilang gemilang sudah tentu akan menarik perhatian pelancong untuk datang dan menyaksikan sendiri kemeriahan tersebut.
Bila berbicara tentang TMM, kita tidak dapat lari daripada cerita tentang teksi dan pemandu teksi. Cerita-cerita buruklah yang sering dikaitkan dengan pemandu teksi. Cerita seperti pemandu teksi tidak menggunakan meter, tidak mahu menghantar penumpang ke destinasi yang dekat, tidak mahu berhenti apabila ditahan, adalah cerita-cerita yang sering kita dengari. Cerita ini menjadi semakin rancak kerana TMM 2007.
Masalah pemandu teksi di Kuala Lumpur bukanlah perkara yang baru. Di kalangan pelancong asing, teksi di Kuala Lumpur ibarat "mimpi ngeri" kepada mereka. Kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan dan mengeluarkan pelbagai amaran kepada pemandu teksi, namun masalah ini tidak juga selesai.
Bila berbicara tentang TMM, kita tidak dapat lari daripada cerita tentang teksi dan pemandu teksi. Cerita-cerita buruklah yang sering dikaitkan dengan pemandu teksi. Cerita seperti pemandu teksi tidak menggunakan meter, tidak mahu menghantar penumpang ke destinasi yang dekat, tidak mahu berhenti apabila ditahan, adalah cerita-cerita yang sering kita dengari. Cerita ini menjadi semakin rancak kerana TMM 2007.
Masalah pemandu teksi di Kuala Lumpur bukanlah perkara yang baru. Di kalangan pelancong asing, teksi di Kuala Lumpur ibarat "mimpi ngeri" kepada mereka. Kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan dan mengeluarkan pelbagai amaran kepada pemandu teksi, namun masalah ini tidak juga selesai.
Malahan saya sendiri jika menaiki teksi, seringkali menjeling ke arah meter dan memerhatikan jalan yang dilalui agar tidak tertipu. Pernah juga saya mengalami pengalaman teksi tidak mahu berhenti dan tidak mahu menghantar ke destinasi yang tidak begitu jauh.
Adalah tidak adil jika kita hanya menyalahkan pemandu teksi semata-mata. Sudah tentu ada yang tersirat. Ini telah mendorong saya untuk menemuramah beberapa orang pemandu teksi untuk mengetahui sendiri apa yang sebenarnya berlaku.
Menurut Encik Hamid yang telah memandu teksi selama 12 tahun, banyak faktor yang menyebabkan pemandu teksi di Kuala Lumpur bersikap "kurang ajar". Paling utama ialah masalah ekonomi. Peningkatan kos kehidupan yang mendadak di Kuala Lumpur telah memeritkan lagi kehidupan pemandu teksi. Pendapatan yang rendah telah mendorong mereka untuk bersikap "kejam" kepada penumpang.
Pendapatan kasar harian pemandu teksi di Kuala Lumpu, jika bekerja keras, kebiasaannya di sekitar RM150. Ditolak bayaran sewa RM40, duit gas RM30 dan cuci kereta RM10, tinggallah pendapatan bersih sebanyak RM70. Itu jika mereka mendapat penumpang yang banyak. Jika tidak, pendapatan kasar pemandu teksi hanyalah sekitar RM60-RM80. Setelah ditolak sewa dan kos-kos yang lain, berapa sangatlah yang tinggal.
Permit teksi
Belum dikira lagi dengan Puspakom yang mewajibkan setiap teksi diperiksa setiap 6 bulan. Kalau dahulu, bayaran untuk pemeriksaan teksi ialah RM40. Sekarang, bayarannya telah dinaikkan kepada RM55. Jika teksi yag diperiksa gagal mematuhi standard yang ditetapkan, untuk mengambil ujian ulangan, bayaran RM25 perlu dibayar berbanding RM15 pada satu ketika dahulu. Tanpa sebarang alasan yang rasional, Puspakom telah menaikkan kadar bayaran tanpa memberi notis kepada pemandu teksi.
Sebilangan besar permit teksi diberikan kepada syarikat-syarikat besar. Hanya segelintir individu yang mendapat permit. Puratanya lebih kurang 70 peratus permit diberi kepada syarikat dan 30 peratus untuk individu. Sebab itulah, kebanyakan pemandu teksi di Kuala Lumpur bekerja dengan syarikat dan bukannya memandu teksi sendiri.
Individu-individu yang mendapat permit juga biasanya tidak memandu teksi mereka sendiri tetapi sebaliknya menyewa permit mereka kepada pemandu teksi lain untuk mendapatkan keuntungan yang lebih mudah.
Selain itu, kekurangan hentian teksi di ibukota juga menyebabkan pemandu teksi sukar untuk mendapatkan penumpang. Ini dirumitkan lagi dengan undang-undang yang tidak membenarkan pemandu teksi mengambil penumpang di perhentian bas.
Encik Karim yang telah memandu teksi selama tujuh tahun memberitahu, pemandu teksi tidak mendapat kerjasama pihak Kondominium dan bank untuk menunggu penumpang. Beliau menceritakan tentang pengalamannya yang sering dihalau pengawal keselamatan berbangsa Nepal jika menunggu penumpang yang menelefon untuk mendapatkan perkhidmatan teksi di Menara Am Bank, Jalan Yap Kwan Seng.
Setelah dihalau, beliau terpaksa pusing balik ke Manara Am Bank melalui jalan yang sesak dan menyebabkan penumpang yang hendak diambil, telah menaiki teksi lain. Kondominium juga bisanya tidak memberi kerjasama kepada pemandu teksi untuk masuk. Jika hujan lebat dan pemandu teksi tidak dibenarkan masuk ke dalam kondominum, bagaimana penumpang mahu diambil?
Dengan skim pinjaman yang mudah untuk membeli kereta, majoriti penduduk Kuala Lumpur telahpun memiliki kereta sendiri. Selain itu, kesesakan yang teruk terutamanya pada hari hujan, juga menyebabkan rezeki pemandu teksi berkurangan.
Imej negara
Sudah sampai masanya masalah pemandu teksi di Lembah Klang, terutamanya di bandaraya Kuala Lumpur, diselesaikan oleh kerajaan. Jika tidak kita akan terus mendengar dan membaca berita yang sama tentang pemandu teksi. Teksi adalah salah satu pengangkutan awam yang membawa imej negara. Jika buruk pandangan orang awam mengenai teksi, maka tercalarlah imej negara.
Permit teksi adalah isu utama yang membelenggu pemandu teksi. Majoriti pemit teksi seharusnya diberikan kepada pemandu yang mempunyai rekod yang baik dan berpegalaman. Sudah tentu Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mempunyai pangkalan data pemandu yang memohon lesen. Ini dapat mengelak syarikat-syarikat besar terus memonopoli permit teksi dan keuntungan akan diperolehi oleh pemandu teksi itu sendiri.
Selain itu, kerajaan juga harus memperbanyakkan perhentian teksi, terutamanya di lokasi-lokasi yang strategik dan mempunyai ramai orang seperti di pusat membelibelah atau tempat awam. Kerjasama pihak kondominium dan bangunan swasta, juga amat diperlukan untuk membantu ekonomi pemandu teksi.
Stesen-stesen minyak yang mempunyai perkhidmatan untuk mengisi gas NGV juga perlu ditambah. Di Kuala Lumpur, hanya terdapat dua tempat untuk mengisi gas yang dibuka 24 jam. Di KLCC dan Kampung Baru. Bayangkanlah kesemua pemandu teksi di Kuala Lumpur yang memandu selepas tengah malam, hanya mempunyai dua stesen 24 jam untuk mengisi gas.
Undang-undang untuk mewajibkan pemandu teksi menggunakan kemeja putih haruslah dikaji semula. Ini adalah kerana warna putih mudah kotor. Tak salah jika mahu keseragaman. Mewajibkan pemandu teksi menggunakan baju batik dilihat lebih rasional, selain membantu mempromosikan hasil kesenian negara.
Ini hanyalah segelintir daripada pelbagai masalah yang melanda pemandu teksi di Kuala Lumpur dan seluruh negara. Masih belum terlambat untuk diselesaikan. Apalah salahnya jika berita gembira diberikan kepada pemandu teksi sempena 50 tahun sambutan kemerdekaan negara.

