Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Barisan Alternatif (BA) memang sepatutnya tewas dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan Sabtu lalu. Keputusan itu tidak mengejutkan kerana semuanya telah dijangkakan sejak awal lagi.

Bagaimanakah seorang pendekar kerdil yang tempang, tidak mempunyai peralatan dan persiapan rapi, di samping menghadapi masalah 'rumahrtangga' mahu menang dalam satu pertarungan dengan sekumpulan gergasi yang serba lengkap peralatan dan tinggi ilmunya? Ianya Ibarat kucing bergaduh dengan gajah, begitulah gambaran pilihanraya kecil di Indera Kayangan itu.

Lebih menyakinkan penulis bahawa Keadilan akan tewas dengan mudah dalam pilihanraya kecil itu ialah krisis dalaman BA. Dan pakatan pembangkang yang goyah itu pula hendak berhadapan dengan gabungan Barisan Nasional (BN) yang padu. Ianya tidak ubah seperti Taliban yang hilang haluan bila diserang tentera Amerika dan Pakatan Utara.

Mana mungkin satu kuasa kerdil mampu menentang kuasa besar, lebih-lebih lagi bila BN disokong oleh jentera kerajaan dan media arus perdana. Keadaan BA semakin goyah setelah DAP berundur. Adalah amat malang dan merugikan apabila tiada wujud lagi kesepakatan dalam BA selepas dua tahun pilihanraya umum berlalu.

Rakyat mengharapkan BA akan menjadi satu pakatan yang lebih kuat dan bersatu. Rakyat mahu melihat BA berdiri di atas satu slogan, satu simbol dan satu tujuan apabila menghadapi pilihanraya tahun 2004. Sebaliknya anggota BA terus bercakaran hingga DAP 'merajuk'.

Keadaan parti-parti pembangkang yang berpecah ini tidak memungkinkan mereka menang dalam mana-mana pilihanraya kecil akan datang. BA yang goyah dan lemah tidak boleh menjadi alternatif terbaik untuk menggantikan BN.

Keadaan yang merugikan

BA sepatutnya belajar dari pengalaman di Indera Kayangan. Keaadan dalaman parti yang kucar-kacir seperti yang dihadapi Keadilan dan kedudukan BA yang berpecah-belah hanya merugikan mereka.

Para pemimpin Keadilan dan BA patut menjadikan Indera Kayangan titik-tolak untuk berusaha mengembalikan semula kekuatan gabungan itu, seperti sewaktu ia diwujudkan sebelum pilihanraya 1999.

Kalau MCA mahu menjadikan Indera Kayangan landasan perpaduan untuk team A dan B, pakatan parti-parti pembangkang juga harus menjadikan kekalahan di Perlis itu satu pengajaran yang paling berguna.. Jalan ke arah pilihanraya umum 2004 masih jauh. Maka kelemahan itu masih sempat dibaiki asalkan ada kemahuan di kalangan para pemimpin BA.

Pemimpin PAS dan DAP terutamanya harus kembali duduk semeja untuk memikirkan formula terbaik untuk menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka. Walaupun Keadilan mendakwa keputusan di Indera Kayangan menunjukkan peningkatan 30 sokongan peratus pengundi bukan

Melayu kepada parti itu, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus meminggirkan DAP. Kita terpaksa mengakui peranan DAP masih diperlukan untuk menarik pengundi China menyokong BA.

Begitu juga dengan kemerosotan undi orang Melayu kepada BA, termasuk dalam kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat PAS di Indera Kayangan, harus menjadi ingata kepada BA khususnya PAS, mengenai tahap sebenar pengaruh mereka di kalangan orang Melayu sekarang.

PAS tidak boleh lagi mendabik dada semata-mata berdasarkan pada keputusan pilihanraya umum 1999. Senario politik sudah banyak berubah, terutamanya dengan pelbagai provokasi politik oleh kerajaan sejak setahun lalu.

Kerajaan banyak mengambil langkah bersifat politik kebelakangan ini untuk memenangi semula hati rakyat, selain bertindak keras terhadap parti pembangkang. Kerajaan memberikan gambaran bahawa ia sedang membaiki kesilapannya.

Sifat 'tidak apa'

Pemimpin-pemimpin mesti membuang sifat selesa dan 'tidak apa' dengan memberikan pelbagai alasan berhubung kekalahan di Indera Kayangan itu. Untuk apa 'kalah dalam menang' atau 'mendapat kemenangan moral' kalau BA tewas dalam setiap pilihanraya kecil?

Ungkapan untuk menyedapkan hati dan telinga tidak membawa apa-apa erti dalam politik. Yang penting di sini ialah kemenangan yang sebenar dan kuasa.

Tanpa kuasa politik, bukan sahaja Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Noor, Tian Chua dan ramai lagi tahanan ISA, akan terus kekal dipenjara, malahan ceramah politik di kawasan tertutup juga akan terus diceroboh pihak berkuasa.

Kesimpulannya, Keadilan dan BA memang sepatutnya tewas di Indera Kayangan dan tidak layak menjadi wakil rakyat kerana dirinya yang pincang.

Sehingga BA membaiki kelemahannya dan membuktikan ia boleh menjadi pengganti yang berwibawa kepada BN, barulah mereka layak memerintah negara ini.