Bezakan kawan daripada lawan
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Perlis pada 19 Januari depan, menjadi tumpuan semua pihak terlibat. Suasana politik selepas peristiwa 11 September rasanya lebih menguntungkan BN selepas PAS dikaitkan dengan kumpulan militan di dalam dan luar negara, sehingga digambarkan sebagai "Taliban Malaysia".
DAP yang telah menarik diri daripada Barisan Alternatif (BA) pula cuba menonjolkan isu negara Islam anjuran PAS sebagai alasan kenapa parti itu tidak membantu kempen BA dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan - sesuatu yang menghampakan pembangkang, khasnya Keadilan.
Manakala propaganda BN melalui media arus perdana, pula memainkan isu "Taliban Malaysia" dan kemudian mendesak PAS meminta maaf kepada kerajaan BN kerana menganggap kes kumpulan Al-Ma'unah di Sauk sebagai satu sandiwara.
PAS pula kini berada dalam keadaan "mempertahankan diri". Sekiranya PAS bersedia melancarkan kempen besar-besaran untuk mengikis gambaran parti itu sebagai "Taliban Malaysia" seperti yang dijanjikan, ia harus berhati-hati agar tidak terperangkap dengan muslihat BN, kerana bukan mudah untuk mengubah tanggapan umum bahawa PAS lebih pro-Taliban berbanding dengan Umno.
Taliban Malaysia
Tidak dapat dinafikan bahawa PAS memang bersimpati dengan Taliban yang menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat dan sekutunya, dan parti itu juga mungkin menyokong beberapa dasar Taliban. Namun adalah keterlaluan untuk menuduhnya sebagai "Taliban Malaysia".
Bagaimanapun, masalah yang bersimpang-siur ini tidak mudah diperjelaskan dalam masa kempen yang begitu singkat di Indera Kayangan. Lebih penting lagi, dari segi taktik, memang ada baiknya PAS berkempen dalam konteks BA berasaskan persefahaman bersama.
Justeru itu, eloklah PAS menghindari isu-isu kontroversial seperti isu negara Islam yang menyebabkan ia dituduh sebagai "Taliban Malaysia". Ini semua untuk menjamin perpaduan BA dan demi menjaga sentimen pengundi. Pendek kata, lancarkan kempen ofensif bersama, dan biarlah BN yang mempertahankan diri.
Mengenai tekanan BN supaya PAS meminta maaf kerana menganggap kes Sauk sebagai sandiwara, tindak-balas PAS juga mengecewakan. PAS dan beberapa pihak lain membuat dakwaan itu ketika ia berlaku dua tahun lalu, berlatarbelakangkan kebankrapan kewibawaan dan ketidaktelusan kerajaan BN kerana sering berbohong dan berkonspirasi untuk melibatkan parti pembangkang dan aktivis reformasi.
Namun, setelah perbicaraan di mahkamah terbuka selesai dan tiga ahli Al-Ma'unah dijatuhkan hukuman mati dan 16 lagi dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat, tentulah tidak bijaksana sekiranya ada yang masih lagi menganggap kes tersebut sebuah sandiwara.
Dari segi pertimbangan politik, terpulanglah kepada PAS sama ada hendak meminta maaf atau tidak. Bagaimanapun, penulis berpendapat PAS perlu meminta maaf kepada rakyat negara ini kerana tidak sensitif dan tidak mengambil berat tentang kebangkitan gerakan militan di negara kita, sehingga mengaburkan pendirian parti itu dan memberikan peluang kepada BN untuk melibatkan PAS dengan pertubuhan dan aktiviti militan.
Dengan lain perkataan, PAS perlu mengambil kesempatan ini untuk membetulkan pendiriannya mengenai kes Sauk dan dengan tegas mengulangi dasar dan cara perjuangannya melalui sistem demokrasi berparlimen serta menentang sebarang pertubuhan dan gerakan militan melalui keganasan, baik Al-Ma'unah atau Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan sebagainya.
DAP tidak praktikal
Sementara itu, keputusan DAP untuk menjauhkan diri daripada pilihanraya kecil Indera Kayangan juga tidak praktikal, kerana realitinya ialah DAP tidak mungkin berkecuali. Keengganannya membantu BA sudah tentu menguntungkan BN.
Keputusan DAP itu tentu mudah difahami jika calon BA bagi Indera Kayangan adalah dari PAS. Namun, calon BA kali adalah daripada Keadilan, parti yang baru-baru ini diajak oleh DAP untuk menubuhkan barisan baru pembangkang baru. Selain pendirian Keadilan mengenai isu negara Islam juga tidak diragui, calon BN pula adalah dari MCA, musuh ketat DAP.
Keengganan DAP membantu calon keadilan, bermakna parti itu membantu calon MCA secara tidak langsung. Kalau begitu, bagaimanakah DAP hendak membela pendiriannya itu?
Seandainya pengundi Indera Kayangan bertanya kepada DAP, calon manakah yang patut mereka undi - Keadilan atau MCA, hanya ada tiga kemungkinan: pertama, mengundi calon Keadilan; kedua, mengundi calon MCA; dan ketiga, terpulang kepada pengundi untuk membuat putusan sendiri.
Jika jawabannya ialah mengundi calon Keadilan, maka kenapa tidak turun ke padang untuk membantu berkempen? Jawabannya tak mungkin mengundi calon MCA yang merupakan musuh ketat DAP, tetapi keenggananya berkempen untuk calon Keadilan boleh diterjemahkan sebagai menyokong calon MCA secara tidak langsung .
Besar kemungkinan jawabannya ialah berkecuali, iaitu terpulang kepada pengundi Indera Kayangan untuk membuat keputusan. Ini bermakna peranan DAP menjadi tidak relevan dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan, satu pilihanraya kecil yang begitu penting sekali menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
Keputusan DAP yang akan menguntungkan BN ini akan meminggirkan lagi DAP yang semakin susut pengaruhnya dan ia mungkin juga merupakan punca baru perselisihan fahaman dalam parti itu. Dalam keadaan sedemikian, tentulah bukan mudah untuk Keadilan yang masih dalam proses pemulihan daripada pergolakan fahaman kepuakan baru-baru ini, untuk menghadapi ujian yang begitu berat sekali. Namun begitu, tidak mustahil pencapaian Lunas dapat diulangi kali ini di Indera Kayangan!

