Selama ini aktivis media, Ahmad Lutfi Othman berseorangan menentang pencabulan media oleh kerajaan. Pengamal-pengamal media arus perdana serta kesatuan dan persatuan wartawan tempatan langsung tidak menyambut perjuangan Ahmad Lutfi itu.

Beliau tidak pernah lekang menyebut "kematian" dua majalah terbitannya, Detik dan Al-Wasilah dalam pertarungannya dengan Kementerian Dalam Negeri. Sekali-sekala di dalam perjuangan solonya itu, beliau menyebut nama-nama seperti Eksklusif dan Semasa, dua tabloid mingguan yang juga menerima nasib yang sama seperti "arwah" dua majalah terbitannya itu.

Kini beliau ditekan lagi bila tabloid tak berkalanya MEMO dirampas dari kilang dan kedai-kedai buku. Malahan akhbar Cabaran yang dimiliki seorang wartawan veteran di Kelantan, turut diberi amaran keras kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Ahmad Lutfi.

Aktivis media yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ini seolah-olah anjing menyalak bukit bila berhadapan dengan KDN yang tidak mempunyai "mata, telinga dan hidung" itu.

Perjuangan Ahmad Lutfi sudah mirip perjuangan Umno - perjuangan yang belum selesa. Tetapi apabila pencabulan media turut berlaku ke atas dua akhbar utama negara ini, Nanyang Siang Pau dan The Sun, ramai pengamal media tersentak walaupun apa yang berlaku tidak cukup untuk membangkitkan penentangan mereka terhadap pihak-pihak yang mencabul kehormatan mereka.

Setidak-tidaknya pencabulan ke atas The Sun ekoran penyiaran berita sensasi mengenai komplot mahu membunuh perdana menteri dan timbalannya telah membangkitkan semula perbincangan mengenai kebebasan dan kredibiliti media, khususnya media arus perdana.

Sekurang-kurangnya tragedi pencabulan yang menyebabkan dua pengarang meletakkan jawatan dan empat wartawan digantung kerja di The Sun telah membangunkan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dari lenanya. Kesatuan ini terpaksa campurtangan kali ini kerana dua wartawan yang digantung tugas ada ahli-ahlinya.

Tidak memeranjatkan, jika dua wartawan berkenaan tidak dikenakan tindakan disiplin oleh pengurusan The Sun, NUJ mungkin akan terus tidur sebagaimana Persatuan Wartawan Melayu yang terus menyepikan diri.

Tangan-tangan politik

Sekarang masyarakat umum tidak lagi membicarakan soal kebenaran berita yang disiarkan oleh The Sun itu tetapi mereka bercakap mengenai nasib para wartawan dan kerjaya mereka. Mereka mengandaikan kewartawanan di Malaysia bukan lagi milik golongan wartawan tetapi dikuasai pengurusan korporat dan ahli-ahli politik.

Tragedi pencabulan The Sun ini telah menyaksikan perubahan drastik dalam pengurusan korporat dan pengarangnya. Kini seorang peguam kontroversi, VK Lingam menjadi teraju utamanya.

Dengan mengambil contoh nasib akhbar Nanyang dan Sun serta perubahan dalam sidang redaksi kumpulan The New Straits Times di mana Abdullah Ahmad kembali ke pesada dunia persuratkhabaran secara sepenuh masa, jelas sekali tangan-tangan politik adalan penentu masa depan kerjaya ini.

Yang boleh hidup di Malaysia sekarang hanya kewartawanan propaganda. Kewartawan yang berunsur penyiasatan, berani, berwibawa dan telus tidak mempunyai tempat walaupun khalayak pembaca menuntut corak kewartawanan sedemikian.

Tidak dinafikan memang tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pengamal media tempatan bila sidang redaksinya terpaksa tunduk kepada arahan golongan pemodal dan kerenah birokrasi KDN.

Jumlah wartawan dan penerbit yang sanggup menggadai periuk nasi semata-mata kerana mahu mempertahankan maruah wartawan terlalu kecil. Ahmad Lutfi mungkin wartawan dan penerbit terakhir yang sanggup berbuat demikian.

Wartawan salah

Keadaan ini menyebabkan kerjaya kewartawanan diperkotak-katikkan dan hilang kehormatannya. Golongan wartawan kini tidak lagi dianggap sebagai kumpulan manusia berani yang sanggup menentang penindasan dan penyelewengan. Sebaliknya mereka dianggap tidak lebih daripada "pelapor ucapan rasmi " atau penulis upahan untuk kumpulan tertentu.

Andy Ng, pengarang The Sun yang meletak jawatan kerana mempertahankan kredibiliti berita yang disiarkan oleh akhbarnya, mungkin merupakan spesis wartawan terakhir yang sanggup menegakkan prinsipnya.

Para wartawan boleh terus menyalahkan para pemegang saham dan KDN sebagai punca kematian keberanian dan ketandusan kreativiti mereka tetapi para pembaca tetap akan menyalahkan mereka kerana tidak bertindak beramai-ramai untuk membela nasib sendiri.